MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan beliau tidak
akan turun sebagai Presiden Umno kerana tiga juta anggota parti itu
teguh berdiri di belakangnya.
Beliau berkata sebagai seorang yang dipilih melalui prinsip demokratik
berdasarkan perlembagaan parti yang baru, beliau perlu diberi ruang bagi
berkhidmat dengan cara terbaik untuk Umno dan rakyat.
"Berkat daripada sokongan Umno yang saya rasa masih jitu dan ampuh,
suara seorang suruh saya turun, saya tidak akan turun sebab tiga juta
ahli Umno ada bersama saya.
"Bukan saya angkuh tetapi saya telah dipilih (sebagai Presiden Umno) jadi jangan ganggu saya melakukan yang terbaik.
"Ada kata saya tidak bijak kerana buang sistem kuota untuk bertanding
presiden parti, tetapi saya mahu parti kita lebih inklusif, lebih
demokratik maka saya serah kepada ahli Umno tentukan," katanya ketika
berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Melaka di
Bandar Hilir, Melaka hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka; Ketua Pergerakan Puteri Umno
Datuk Mas Ermieyati Samsudin; dan Ketua Bahagian Umno Kota Melaka Datuk
Abdul Latiff Tamby Chik.
Najib berkata anggota Umno perlu memberikan sokongan kepada dirinya
bukan kerana sebab peribadi, tetapi kerana beliau adalah Presiden Umno.
"Sokongan kepada saya bukan kerana saya Najib bukan kerana sebab
peribadi, sokongan kuat perlu diberi kepada Presiden Umno kerana tidak
boleh ada Presiden Umno yang lemah untuk pastikan parti kita terus
berjaya," katanya.
Siling nak runtuh
Sementara itu, Najib berkata, beliau tidak bersetuju sikap ekstrem dalam
Umno dan mahukan semua anggota parti memilih kesederhanaan bagi
memastikan Umno terus kekal mendapat sokongan rakyat.
Katanya, sikap angkuh dan fikir Umno terlalu kebal untuk kalah dalam
pilihan raya akan membuatkan anggota Umno terlalu selesa dan sikap
melihat parti itu terlalu lemah akan membuatkan anggota Umno terlalu
kecewa untuk berjuang serta menghampakan rakyat.
"Kalau kita pilih jalan pertengahan kita pilih jalan wasatiyyah dalam
Islam maknanya, kalau kita bersatu, setia kepada ketua, kita bekerja
keras, kalau kita berkhidmat pada rakyat, kalau kita jaga kemaslahan
rakyat, jaga agama semua kaum insya-Allah kita boleh menang (pilihan
raya)," katanya.
Menurut Najib, rakyat pada masa ini melihat kepada keupayaan untuk
'meletak makanan di atas meja', maka ini perlu diberi fokus utama oleh
anggota Umno.
"Rakyat nak bumbung di atas mereka, hendak rezeki halal, hendak sekolah
dan pendidikan inilah perkara yang perlu kita fokus. Soal 1MDB bukan
segalanya macam dunia nak kiamat; siling nak runtuh, ini bukan defining issue," katanya.
Beliau berkata sehubungan itu semangat setiakawan dalam Umno perlu
dipupuk terutamanya di kalangan akar umbi dan pemimpin di pelbagai
peringkat bagi memastikan Umno terus kukuh bagi membela nasib rakyat dan
bangsa Melayu.
Katanya semangat setiakawan yang perlu dipupuk dalam semua anggota Umno
memainkan peranan penting dalam memastikan semua anggota parti itu akan
bersama dalam situasi susah atau senang terutamanya menghadapi cabaran
hebat pada masa ini.
"Jangan pula masa senang kita sokong, masa susah kita tebuk kapal pula,
susah senang kita bersama itulah setiakawan dalam politik, kita dalam
keluarga begitu lah. Zaman susah tidak lama kerana ada cahaya di hujung
terowong jika ada setiakawan politik ini," katanya.
Sementara itu, Najib menegaskan Umno merupakan tunjang kepada perjuangan
membela nasib bangsa Melayu di negara ini dan menasihatkan anggota
parti itu supaya tidak membiarkan perbezaan pendapat 'menguburkan' parti
tersebut.
"Kalau tiada Umno maka 'terbangsat' lah bangsa Melayu. Saya tidak dapat bayangkan nasib bangsa Melayu tanpa Umno," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan