HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Ogos 2015

Guna stesen televisyen, radio hebah hudud

Hudud
 
 
KOTA BHARU - Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan guna media elektronik termasuk stesen televisyen dan radio bagi memberi kefahaman mendalam mengenai pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).
 
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Nassuruddin Daud berkata,  jika diberikan peluang, Kelantan akan memanfaatkannya bagi memberi penerangan kepada orang Islam dan bukan Islam.
 
“Saya sendiri belum ada peluang bercakap mengenai hudud di televisyen dan radio. Insya-ALLAH kita akan cuba berurusan, bukan (stesen radio dan televisyen) bawah kuasa kita.
 
“Insya-ALLAH  jika diberikan peluang, kita nak cakap mengenai hudud dan bukannya soal politik untuk memberi manfaat kepada seluruh umat Islam dan bukan Islam," katanya.
 
Terdahulu cadangan guna media elektronik itu disuarakan, Mohd Roseli Ismail (Pas-Kemuning).
 
Nassuruddin berkata, bagaimanapun berdasarkan pengalaman sebelum ini, pimpinan kerajaan negeri tidak diberikan peluang guna saluran tersebut bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat.
 
 
 
Menyentuh mengenai sokongan bukan Islam, Nassuruddin berkata, orang bukan Islam menyambut baik dan memahami penjelasan diberikan berdasarkan pertemuan diadakan sebelum ini.
 
Dalam masa sama bagi memberi penjelasan lebih jitu berkaitan hudud katanya, Kelantan bercadang mengadakan penerangan melibatkan pakar undang-undang untuk orang bukan Islam yang terus berfikiran negatif.
 
Selain itu katanya, buku dan risalah dalam pelbagai bahasa juga diedarkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam melalui aktiviti jabatan termasuk menghasilkan artikel berdasarkan perspektif undang-undang.
 
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fathan Mahmood (Pas-Chempaka) yang mahu penerangan turut diberikan kepada semua penyokong Pas dan Umno kerana dibimbangkan kefahaman mereka akan berubah sekiranya pimpinan bertukar, Nassuruddin berkata, penjelasan telah diberikan kepada semua pengikut parti termasuk DAP.
 
Katanya, penerangan juga turut dilakukan di luar Kelantan termasuk Selangor dan Pulau Pinang.
 
“Alhamdulillah setakat ini orang Islam terima dengan baik dan berdasarkan kajian mendapati lebih 90 peratus menerima hudud,” katanya.
 
Tambahnya, semua pihak harus menyedari hudud wajib disokong dan gerakan meningkatkan kefahaman hukuman itu akan diteruskan.

Tiada ulasan: