HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Ogos 2015

Ini Kerja Gila, Kami Yang Menyiasat Cari Kebenaran, Kami Pula Yang DItangkap!

KELAB GREENBOC



Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disiasat polis Cawangan Khas selama lebih 3 jam di pejabatnya hari ini melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap siasatan polis ke atas siasatan mereka terhadap operasi dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin berkata beliau juga terkejut apabila timbalan pendakwa raya (SPRM) mereka ditangkap polis di malam hari.

"Saya cukup kesal perkara ini berlaku kerana kami menyiasat dengan sepenuh hati siang dan malam bagi mencari kebenaran.

"Tiba-tiba DPP kami diambil pada pukul 1 pagi dan ia amat menghairankan kenapa boleh berlaku perkara sedemikian,"
katanya sewaktu ditemui wartawan selepas disiasat polis di pejabatnya di Putrajaya, petang tadi.

Bahri adalah sebahagian daripada pasukan khas yang menyiasat 1MDB.

Beliau turut melahirkan rasa curiga dengan individu lain yang dipercayai berada di belakang siri serbuan polis ke atas mereka yang menyiasat 1MDB.

"Saya rasa pihak polis tak akan buat kerja gila begini kecuali ada pihak lain memaksa pihak polis melakukannya," katanya.

Sementara itu, Bahri berkata siasatan polis terhadapnya petang ini dibuat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan berkaitan kebocoran dokumen yang didakwa sebagai "draf pertuduhan".

Beliau dipercayai merujuk kepada salinan gambar dokumen yang didakwa sebagai draf pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – satu perkara yang sudah dinafikan Jabatan Peguam Negara.

"Saya yakin sepenuh hati bukan daripada kami benda itu dan ia dihasilkan semula," katanya.

Satu pasukan, dipercayai daripada Bukit Aman, tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 2.45 petang ini.

Bahri, yang tiba di pejabatnya jam 3.07 petang, kelihatan terkejut dengan kehadiran ramai petugas media di hadapan bangunan ibu pejabat itu.

Beliau diiringi ke dalam bangunan oleh pegawainya dan beberapa anggota keselamatan.

Sabtu lepas, polis menahan pegawai Jabatan Peguam Negara Jessica Gurmeet Kaur dan bekas penasihat SPRM Tan Sri Rashpal Singh untuk disoal siasat berkaitan dengan kes itu.

Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Mereka dibebaskan pada malam yang sama apabila pihak polis gagal mendapatkan perintah reman untuk menahan mereka lebih lama.

Penangkapan Rashpal dipercayai berkaitan dengan laporan yang beliau ada menemui pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di London.

SPRM bagaimanapun menafikan kebocoran dalam penyiasatan Putrajaya berhubung firma pelaburan negara yang dibebani hutang itu dibuat orang dalam agensi anti-rasuah itu.

Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob pada 21 Julai berkata Rashpal tidak mempunyai akses kepada siasatan berterusan yang dijalankan agensi itu kerana tempoh perkhidmatan beliau sebagai ahli lembaga itu berakhir pada Februari. -TMI

Siasatan 1MDB Semakin Hilang Arah

Rombakan kabinet baru-baru ini menepati ramalan saya bahawa ia adalah untuk menutup skandal penjarahan duit rakyat terbesar dalam sejarah Malaysia. Lebih buruk apabila aparatus negara yang sepatutnya memelihara kepercayaan rakyat diragui penguatkuasaannya.

Contoh terkini ialah apa yang berlaku kepada siasatan PDRM terhadap SPRM amat mengecewakan rakyat sehingga SPRM terpaksa membuat solat hajat dan Ketua Pesuruhjaya SPRM terpaksa mengambil cuti rehat setelah beberapa pegawai tingginya disiasat.

Timbalan Perdana Menteri yang baru menggunakan kuasa PDRM untuk menimbulkan berbagai ugutan terhadap pihak yang bertanggungjawab menyiasat akaun RM 2.6 bilion yang dikatakan milik Perdana Menteri Malaysia sekarang.

Tidak mengejutkan Malaysia akan mengalami krisis kepercayaan apabila institusi yang bebas turut menjadi mangsa ugutan hanya kerana mahu menjalankan siasatan bebas dan telus.

Saya mengharapkan pihak SPRM tidak gentar untuk menbenteras rasuah walaupun diugut untuk diambil tindakan. Jangan kecewakan kami hanya untuk menjaga seorang dua yang boleh menghancurkan kepercayaan rakyat kepada pemerintah hari ini.

Kembalikan Kepercayaan Rakyat!

Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia


SPRM solat hajat mohon keselamatan, kekuatan

Berdepan dengan 'dugaan' semasa warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini buat julung kali mengadakan solat hajat diimami timbalan ketua pesuruhjayanya, Datuk Seri Zakaria Jaffar.

Antara lain solat hajat itu diadakan bagi memohon kepada Allah supaya mereka diberi kekuatan untuk "melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin".

“Kami memohon kepada-Mu ya Allah berilah kekuatan kepada kami untuk melaksanakan tugas dengan sebaik-baik mungkin.

“Jauhilah kami dari perbuatan mungkar, berilah kekuatan kepada pejuang-pejuang rasuah ini supaya mereka dapat menyelamatkan diri dan keluarga mereka, organisasi, masyarakat terutamanya negara yang kami kasihi ini daripada dicerobohi perbuatan orang yang mengamalkan rasuah,” katanya membacakan doa selepas solat hajat Untukmu SPRM di Putrajaya sebentar tadi.

Majlis itu diadakan selepas solat Zuhur di bangunan SPRM itu disertai kira-kira 100 kakitangannya.

Mengulas lanjut tujuan solat hajat berkenaan, Zakaria berkata ia adalah amalan biasa bagi mereka namun pertemuan petang ini dibuat bagi memperbaiki kelemahan yang ada pada pegawainya.

Nak halang orang masuk neraka

“Sebenarnya kita buat secara berterusan secara individu tapi petang ini kita berjumpa dengan pegawai-pegawai SPRM untuk tengok dan perbetulkan (kesilapan) kita supaya Allah sentiasa memberi kebaikan,” ujarnya.

Mengakui tugas mencegah gejala rasuah sebagai besar dan berat, Zakaria berkata mereka berharap Tuhan memberikan anggota agensi itu kekuatan untuk melaksanakan tugas mulia berkenaan.

“Rasulullah kata memberi dan menerima rasuah akan masuk neraka. Jadi, (kami) nak cegah orang masuk neraka ini satu pekerjaan yang berat dan besar.

“Kita kena minta tolong daripada Allah supaya menunjuk jalan serta membantu kita melaksanakan tugas," katanya.

Polis semalam mengambil keterangan dari seorang lagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tuan Roslan Tuan Mat berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan terhadap kebocoran dokumen sulit kerajaan.

Roslan adalah pegawai SPRM keempat yang disoal siasat berhubung kebocoran dokumen dalam siasatan membabitkan agensi milik kerajaan, 1MDB.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazalee Abdul Khairi ditahan pada pagi Sabtu dan disoal siasat lebih dua jam.

Sebelum itu, polis mengambil keterangan daripada Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Forensik SPRM IG Chandran, masing-masing selama tiga jam.

Polis setakat ini tidak memperincikan mengapa mereka menyoalsiasat para pegawai tersebut, tetapi difahamkan keempat-empat mereka terlibat dalam siasatan SPRM terhadap SRC International Sdn Bhd yang dikaitkan dengan 1MDB.
-mk


Tindakan Tangkap Pegawai SPRM Seolah-olah Laporan WSJ & Sarawak report Itu Benar

Tindakan kerajaan dan pengakuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai penangkapan beberapa orang untuk membantu siasatan berkaitan kebocoran maklumat 1MDB seolah-olah membuktikan laporan Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report (SR) benar.

Blogger dan penganalisis politik, Shahbudin Husin, berkata jika maklumat yang disiarkan dalam media itu tidak sahih, maka apa sebabnya pembocor maklumat ingin dicari.

Menulis dalam entri blog terbarunya, Shahbudin membuat kesimpulan tumpuan siasatan yang sepatutnya mengenai kemasukan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, berubah haluan dan disusurkan ke arah mencari pembocor maklumat pula.

“Adakah ini yang menyebabkan saman terhadap WSJ terus tertangguh, manakala Sarawak Report hanya disekat dan The Edge digantung permitnya?” soalnya.

Beliau juga merasakan kes yang menyimpang daripada hala tuju asal akan membuatkan rakyat merasakan sudah tidak lagi penting untuk mengetahui hasil siasatan pasukan petugas yang dipimpin bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan usaha disasarkan terhadap pencarian pembocor maklumat.

“Bagi yang ingin mengetahui kebenaran, pasti turut tertanya-tanya, apakah setelah pembocor maklumat diketahui nanti, isu wang RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Najib itu akan diteruskan siasatannya atau bakal disenyapkan begitu saja?” tulisnya.

Dia juga membangkitkan cadangan Suruhanjaya Diraja bagi menggantikan Pasukan Petugas Khas kerana dengan siasatan yang semakin melencong, ia (suruhanjaya) adalah pilihan terbaik untuk mencari sebuah kebenaran yang seakan-akan semakin kabur hari demi hari.
-FMT

Tiada ulasan: