MALAYSIAKINI
Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno menyarankan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan usaha mewujudkan satu akta khusus
berhubung pengisytiharaan dana politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata akta itu membolehkan SPRM
melakukan siasatan terhadap parti politik yang menerima dana daripada
pelbagai pihak.
Beliau yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah berkata
peruntukan undang-undang khusus diperlukan untuk membolehkan SPRM
mendedahkan butiran terperinci seperti sumber atau penyumbang dan jumlah
dana.
Ismail Sabri berkata sebelum ini pihak Bidang Keberhasilan Utama Negara
(NKRA) Mencegah Rasuah mencadangkan agar mewujudkan satu akta baru untuk
tujuan itu, namun ia mendapat tentangan daripada parti pembangkang.
"Pada waktu itu, pembangkang tidak setuju kerana mereka tidak mahu
kerajaan tahu dari mana mereka memperolehi dana politik. Tetapi, apabila
timbul isu yang melibatkan wang presiden Umno (Datuk Seri Najib Tun
Razak), ramai pula mempersoalkannya.
"SPRM patut menyegerakan (mewujudkan akta) sama ada meminda Akta SPRM
atau Akta Pilihan Raya tetapi saya harap supaya ia disegerakan sebelum
pilihan raya umum... ia boleh dilaksanakan," katanya kepada pemberita
selepas Majlis Sambutan Aidilfitri KKLW di Putrajaya semalam.
Kelmarin, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Shamshun
Baharin Mohd Jamil mencadangkan satu akta diwujudkan bagi membolehkan
agensi itu menyiasat dana parti politik di negara ini.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan