HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Ogos 2015

Memo buat PMO: Siapa penderma murah hati itu?

MALAYSIAKINI


 

Jika semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi tempoh tujuh hari untuk mendedahkan identiti penderma RM2.6 bilion ke akaun perdana menteri, hari ini tuan punya badan pula digesa berbuat demikian,

Gesaan terhadap Datuk Seri Najib Razak itu dinyatakan dalam memorandum kumpulan pemuda Gerakan Harapan Baru (GHB) kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya hari ini.

"Seluruh rakyat Malaysia tertanya-tanya siapa batang tubuh yang bermurah hati itu.

“Dan tidak kurang juga ada yang termimpi-mimpi untuk memperoleh jumlah derma sebanyak itu ketika dihimpit kenaikan kos sara hidup," kata Naib Penyelaras 1 Anak Muda GBH Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Fakhrulrazi percaya beban dipikul Najib akan lebih ringan jika perkara itu didedahkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kumpulan itu semalam membuat laporan berkaitan isu itu kepada SPRM dan memberi masa tujuh hari kepada badan itu untuk mendedahkan siapa penderma itu.

Mereka juga mendesak individu itu tampil ke hadapan memperkenalkan dirinya bagi merungkai segala persoalan.

Kumpulan GBH digerakkan oleh bekas pemimpin kanan PAS yang tewas dalam pemilihan parti itu sebelum ini. Dipimpin bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, GBH merancang menubuhkan sebuah parti Islam baru serta merintis gabungan pembangkang “Pakatan Rakyat 2.0”.

Ia dilihat penganalisis politik sebagai cuba menggantikan peranan PAS dalam gabungan pembangkang bersama PKR dan DAP.


Tiada ulasan: