Bagaimanapun, ia terpulang sama ada Pas masih boleh berpegang kepada dasar bersama yang dipersetujui Pakatan Rakyat sebelum ini.
PETALING JAYA: Pas masih boleh menyertai gabungan pakatan pembangkang yang baharu yang bakal ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang telah terkubur.
Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi bagaimanapun berkata, Pas perlu menerima konsep persetujuan bersama yang menjadi dasar Pakatan Rakyat.
“Jika Pas ingin menyertai pakatan pembangkang baharu, mereka perlu menerima dasar Pakatan Rakyat.
“Pas terkeluar daripada PR kerana tidak mematuhi persetujuan bersama apabila berlaku pertikaian antara Pas dan PKR berhubung isu Menteri Besar Selangor dan pertikaian Pas dan DAP berhubung isu hudud. Isu ini menyebabkan perpecahan.
“Tapi kalau sekiranya mereka boleh kembali kepada persetujuan asal sebelum krisis, saya rasa Pas boleh menyertai semula gabungan ini dan menjadi lebih kuat untuk menentang UMNO,” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah itu berkata, pakatan pembangkang baharu seharusnya terbuka dengan membenarkan mana-mana parti pembangkang termasuk Pas untuk bersama mereka menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Pakatan baharu ini mesti terbuka bukan sahaja untuk beberapa parti politik, malah untuk semua yang menentang BN ,” katanya.
Ditanya sejauh mana Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), mampu bertahan apabila diambil alih Gerakan Harapan Baharu (GHB), Phahrolrazi berkata, KITA perlu terus bersama dalam pakatan pembangkang untuk kekal lama.
Katanya, KITA akan menjadi seperti parti serpihan Pas yang lain jika bergerak sendirian.
Katanya, situasi politik terkini memberi kelebihan kepada pakatan pembangkang apabila sokongan rakyat terhadap BN khususnya UMNO semakin parah.
“Lihat perkembangan pada PRU-13 sokongan kepada pembangkang melebihi majoriti iaitu sebanyak 52 peratus yang menyokong gabungan PR.
“Dengan perkembangan yang ada sekarang, sokongan kepada BN di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak akan menurun lagi dua atau tiga peratus, malah sokongan kepada gabungan pakatan pembangkang baharu akan meningkat sehingga 55 peratus,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan