HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Ogos 2015

Pengkritik 1MDB tak mungkin akan berpuas hati

SINAR HARIAN



1MDB
1Malaysia Development Berhad


KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pengkritik isu 1MDB tidak akan berpuas hati dengan apa jua penjelasan yang diberikan.

Ini terbukti apabila kritikan sesetengah pihak tetap berterusan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata wang RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri datangnya daripada penderma, bukannya 1MDB, katanya.

"Anda tidak mungkin boleh memuaskan hati pengkritik," kata Salleh dalam catatan terbaru dalam laman blognya.

Salleh berkata golongan ini akan tetap mendesak dan tidak akan berpuas hati dengan jawapan yang diberikan pihak berkuasa mengenai isu itu.

"Mereka akan menuntut anda lakukan apa yang mereka mahu, dan apabila kita memenuhi kehendak itu, mereka tetap tidak berpuas hati," katanya.

Salleh berkata pengkritik Perdana Menteri mendakwa wang 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Najib dan mereka menuntut mahu tahu kesahihannya.

SPRM telah mengumumkan ia bukan wang 1MDB tetapi daripada penderma, katanya sambil menambah itu yang dituntut mereka dan disahkan SPRM.

Semalam, SPRM melalui satu kenyataan menjelaskan wang RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun Najib datangnya daripada penderma, bukan 1MDB.

Menurutnya laporan siasatan itu akan diserah kepada Peguam Negara.

Salleh berkata pengesahan itu tetap gagal memuaskan hati pengkritik malah menurutnya, akan tampil dengan tuntutan dan tuduhan baru.

"Sekarang mereka mahu tahu kenapa ia mengambil masa yang lama untuk mengesahkannya. Kenapa mereka tidak boleh sahkannya pada hari pertama? Yang lain mahu tahu sama ada derma itu datang dengan permintaan tersembunyi kerana pasti sumbangan sebesar itu hadir dengan syarat dan terma tertentu.

"Jadi apa isunya sekarang? Bukankah mereka harusnya gembira wang itu bukan dicuri dari 1MDB seperti didakwa? Itulah yang mereka tuntut dan disahkan oleh SPRM.

"Jika Najib memberitahu sumbangan itu tidak datang dengan sebarang permintaan, adakah mereka akan percaya?" tanya Salleh. - Bernama


Tiada ulasan: