MALAYSIAKINI
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran mengambil langkah bagi menentukan
hanya penduduk tempatan di sesuatu kawasan pilihan raya dibenarkan
mendaftar sebagai pengundi.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ia
bertujuan mengatasi masalah peningkatan jumlah pengundi luar di sesebuah
kawasan pilihan raya, sekaligus mengelakkan parti politik
memanipulasikan pengundi untuk kepentingan mereka.
Di sesetengah kawasan seperti di kawasan Parlimen Lembah Pantai, katanya
jumlah pengundi luar yang bertukar alamat ke kawasan itu adalah
melebihi bilangan pengundi sedia ada.
Menurutnya, perbuatan itu telah memberi kelebihan kepada lawan BN
sehingga ia berjaya memenangi beberapa kawasan, tetapi akhirnya wakil
rakyat terpilih mengabaikan rakyat selepas berjaya mencapai matlamat
itu.
"Sekarang Lembah Pantai siapa yang jaga... Raja Nong Chik, wakil rakyat
ada peduli? Dia tahu dia akan menang sebab ada pengundi luar. Sebab itu
SPR perlu meneliti perkara ini," katanya ketika merasmikan mesyuarat
Perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai, semalam.
Tengku Adnan yang juga pengerusi badan perhubungan Umno, Wilayah
Persekutuan berkata pemindahan pengundi luar ke Lembah Pantai telah
dikesan sebagai antara faktor kekalahan BN di kawasan itu pada Pilihan
Raya Umum ke-13 yang lalu.
Pengundi luar di kawasan itu rata-rata tidak mengundi BN kerana mereka
tidak tahu apa perkembangan dan perubahan yang telah Umno-BN usahakan
sejak dulu, katanya.
Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut menasihatkan
para perwakilan supaya tidak mudah terpengaruh dengan isu yang sengaja
dimanipulasi pihak tertentu dengan tujuan menimbulkan kemarahan orang
ramai.
Perwakilan seharusnya menjadi perisai kepada parti dan tidak mudah
berkongsi maklumat yang viral di media sosial kerana kebanyakan maklumat
itu adalah tidak berasas, katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan