Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: PAS tetap konsisten untuk berta'awun (bekerjasama demi
kebaikan) dengan Umno dalam hal melibatkan kepentingan umat Islam,
termasuklah sepentas bersama parti itu untuk mengutuk tindakan Amerika
Syarikat (AS) yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
Menurut Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, PAS
sememangnya memutuskan mengambil pendirian sedemikian jika melibatkan
kepentingan Islam, dan ia sudahpun bermula ketika era pentadbiran Tun Dr
Mahathir Mohamad sebelum ini.
"Memang kita dah bersetuju untuk bertaawun dalam hal-hal yang berkaitan
dengan Islam dan umat Islam. Dahulu kita juga pernah sepentas bersama
Tun Dr Mahathir dalam isu Palestin, bersama Allahyarham Ustaz Fadzil
Noor. (Kemudian) kita satu pentas dalam isu Rohingya," katanya kepada
Antarapos.
Justeru beliau menegaskan, tindakan 'musuh politik' yang cuba
mengaitkan perkara ini sebagai langkah untuk menjalin tahaluf siyasi,
adalah cubaan untuk memfitnah parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang
itu.
Tambah Mahfodz, jika semua pihak benar-benar mahu bangkit
mempertahankan Islam, mereka juga sepatutnya mengenepikan soal parti
politik masing-masing dengan menyertai himpunan yang dijadualkan
berlangsung di Putrajaya, Jumaat depan.
"Sebaik-baiknya janganlah hanya Umno dan PAS sahaja, kalau boleh lebih
kukuh lagi perpaduan umat Islam di Malaysia, diajak parti-parti lain
juga.
"Kalau Umno dengan PAS saja, sudah tentu timbul persepsi atau fitnah
seperti mana yang berlaku hari ini walau kita sudah menafikan beratus
kali bahawa kita tiada kerjasama politik dengan Umno, (tapi) musuh
politik tetap menularkan isu itu seolah kerjasama itu akan berlaku.
Padahal dari segi politik, kita tiada kerjasama dengan Umno," kata
Mahfodz.
Jumaat ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual akan
menyertai himpunan di Putrajaya itu bersama-sama Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang bagi mengutuk tindakan AS mengiktiraf Baitulmuqaddis
sebagai ibu negara Israel.
Najib baru-baru ini juga berkata beliau akan menjelaskan tentang hasil
yang dicapai pada sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam
(OIC) di Istanbul minggu lalu tentang perkara itu, di himpunan
berkenaan.
Mengulas mengenai keterlibatan PAS, ujar Najib, Umno dan PAS perlu bersama-sama mencari jalan untuk menangani isu berkenaan.
Dalam pada itu Mahfodz bagaimanapun berkata, beliau tidak dimaklumkan
secara rasmi sekiranya Hadi sudah menyatakan persetujuan untuk
bersama-sama dengan Najib pada himpunan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan