TASEK GELUGOR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan seorang murid Tahun Enam, dalam satu operasi di sini, malam tadi.
Ketua Penguatkuasa dan Keselamatan AADK Pulau Pinang, Nasruddin Abdul
Rahman, berkata murid berkenaan antara yang diperiksa bersama 120
individu lain dalam Operasi Perdana.
Beliau berkata, daripada jumlah yang diperiksa itu, seramai 100
individu berusia antara 12 hingga 72 tahun didapati positif dadah
melalui ujian saringan air kencing.
Katanya, operasi itu dijalankan sejak Jumaat lalu, di lima daerah negeri ini.
"Dalam operasi itu, 11 individu yang masih bersekolah termasuk seorang
yang baru tamat Tahun Enam, didapati terbabit dalam penyalahgunaan
dadah.
"Semua tahanan kini direman antara tujuh hingga 14 hari untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Nasruddin berkata, dalam operasi itu pihaknya turut merampas 3.68 gram dadah jenis morfin dan syabu seberat 1.26gram.
Beliau berkata, seramai 69 anggota penguatkuasa AADK termasuk polis dan
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam operasi itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan