JOHOR BAHRU: Pemilik syarikat perancang perkahwinan Zurin Jundi
dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan
memperdaya pelanggannya menyerahkan wang sebanyak RM5,000 pada Mac lalu.
Tertuduh, Zurina Ahmad Jundin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah
selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Azlan
Shah Mohd Allias.
Mengikut kertas pertuduhan, Zurina didakwa memperdayakan Erhana Nur
Asyatiqah Saidon, 25 dengan menawarkan pakej perkahwinan murah dan
mendorong mangsa memasukkan wang pendahuluan sebanyak RM5,000 ke dalam
akaun bank atas nama tertuduh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Jasa 7, Taman Mutiara Rini, di sini pada bulan Mac lalu.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika
disabitkan kesalahan.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohd Azlan Shah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000
dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Januari ini untuk sebutan
semula kes.
Ini adalah kali ketiga tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan memperdaya pelanggannya.
Terdahulu, 19 Oktober lalu Zurina dituduh di Mahkamah Majistret Klang,
Selangor atas dua dakwaan memperdaya seorang ibu bakal pengantin
sehingga membayar wang pendahuluan pakej perkahwinan berjumlah RM7,000
pada Mac dan Jun lalu.
Zurina turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 20
November lalu atas dakwaan memperdaya seorang bakal pengantin untuk
menyerahkan deposit sebanyak RM8,500, antara Mac hingga Mei lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan