KUALA LUMPUR: Peruntukan tahunan sebanyak RM10 juta akan diberikan
kerajaan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi
memastikan gejala penyalahgunaan dadah dapat dikurangkan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ,
RM5 juta daripada peruntukan itu akan diberi secara tetap kepada
Persatuan Mencegah Dadah Kebangsaan (Pemadam) menerusi Agensi Anti Dadah
Kebangsaan (AADK) bermula tahun depan.
“Mesti ada peruntukan daripada AADK diberikan kepada seluruh NGO
seluruh negara. Peruntukan tanpa perlu surat permohonan sebanyak RM5
juta akan diberikan kepada Pemadam," katanya sewaktu berucap dalam
Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam Ke-42 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan
Dunia Putra di sini hari ini.
Manakala baki peruntukan sebanyak RM5 juta lagi akan diperuntukkan
kepada NGO-NGO, kelab-kelab antidadah di sekolah dan universiti.
Bagaimanapun Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata,
kerajaan tidak akan teragak-agak menarik kembali peruntukan berkenaan
jika hasilnya tidak memuaskan.
“Jika kes penyalahgunaan dadah gagal dikurangkan 50 peratus menjelang
Disember tahun depan, saya akan tarik balik peruntukan itu daripada
NGO-NGO semua,”katanya.
Turut hadir Yang Dipertua Pemadam, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan