HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 Mac 2018

Beberapa kawasan di Lembah Klang alami gangguan bekalan air

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sebanyak 427 kawasan di sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan peralatan kritikal selama 10 jam di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) bermula Selasa hadapan.
 
Antara kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air, termasuk Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.
 
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) memaklumkan, kerja-kerja pembaikan oleh Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) akan menyebabkan henti tugas loji sepenuhnya.
 
“Ketika ini loji menghasilkan 800 hingga 820 juta liter air sehari. Dengan jumlah sebesar ini, tempoh pemulihan bekalan air kepada pelanggan akan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung pada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
 
Tambah kenyataan itu, pelanggan diminta menyimpan bekalan air secukupnya sebelum 6 Mac ini.
 
Untuk senarai kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air, orang ramai boleh melayari laman web www.syabas.com.my.

Tiada ulasan: