HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mac 2018

Dokumen persempadanan semula: Tak beretika bocor sebelum bentang

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan menyiarkan dokumen yang didakwa laporan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah suatu perbuatan yang tidak beretika apatah lagi laporan berkenaan belum dibentangkan di Parlimen.
 
Menurut penganalisis politik Prof Madya Dr Jeniri Amir, kebocoran itu tidak wajar berlaku kerana Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sudah mengingatkan wakil rakyat untuk mematuhi embargo itu sehingga 28 Mac.
 
"Perbuatan itu jelas tidak beretika dan tidak bertanggungjawab, kerana sepatutnya laporan itu dibahaskan pada Rabu minggu hadapan.
 
"Saya harap pihak berkuasa Parlimen perlu bertindak dalam menentukan tindakan yang sepatutnya dapat diambil terhadap pihak yang telah mendedahkan dokumen sulit ini," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Semalam, laman web The Other menyiarkan capaian ke dokumen yang mengandungi 3 jilid laporan didakwa daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
Pandikar juga ketika sidang semalam telah memberi amaran kepada para wakil rakyat bahawa kandungan laporan itu tidak boleh didedahkan kepada orang ramai sehingga pembentangan minggu depan.
 
Mengulas kenyataan itu, Jeniri tegas menyatakan peluang untuk melihat laporan persempadanan semula yang diberi kepada ahli parlimen seharusnya diteliti bukan untuk disiarkan kepada umum.
 
"Tuan Speaker telah menyatakan dengan jelas,bahawa dokumen berkenaan tidak boleh mendedahkan kepada mana-mana media.
 
"Sudah tentu bercanggah dengan arahan Speaker dan memberi implikasi undang-undang," ujarnya.
 
Namun, Jeniri melihat laporan yang diberikan lebih awal ini bakal memberi kelebihan buat pihak pembangkang.
 
Sehubungan itu, beliau mendakwa laporan persempadanan semula bakal menjadi topik hangat dalam sidang parlimen minggu hadapan.
 
"Sudah pasti ini bakal digunakan pihak pembangkang untuk meneliti dengan lebih mendalam lagi dimana kalau ada manipulasi yang telah dilakukan SPR dalam proses persepadanan semula.
 
"Memberi kelebihan kepada pembangkang meneliti dan mengkaji apa yang patut mereka untuk mendedahkan dan berhujah mengenai persepadanan semula.
 
"Apabila perkara ini tersebar di media sosial, ini mampu menguatkan hujah pembangkang waktu berbahas minggu depan," kata beliau lagi.
 
Laporan kajian akan dibentangkan pada Rabu depan dan Dewan Rakyat dijangka meluluskan cadangan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya itu minggu depan sebelum Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum ke-14

Tiada ulasan: