HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Mac 2018

Kegagalan penstrukturan air, Langat 2 antara punca gangguan bekalan air - AWER

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
SHAH ALAM: Jika perjanjian penstrukturan industri air Selangor dilaksanakan kerajaan negeri lebih awal, krisis bekalan air tidak akan menjadi kritikal seperti hari ini, kata Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran.
 
Malah katanya, kegagalan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air Selangor yang tertangguh sejak 2008 juga mengakibatkan kos pengambilalihan satu lagi syarikat air meningkat, yang terpaksa ditanggung rakyat.
 
"Kalau 2008 selesai saya rasa sekarang tidak ada masalah air di Selangor dan Putrajaya. Tidak ada orang yang perlu beratur bawa baldi kat luar. Kalau dah struktur semula dahulu tidak ada masalah, sebab kegagalan buat keputusan pada waktu-waktu tertentu bawa masalah yang berlarutan. 
 
"Bila kita tukar lebih lewat ia kos lebih tinggi. Bermaksud ia beri impak lebih besar kepada salah siapa? Kalau kita buat penstrukturan 5 tahun sebelum ini, kos kita mungkin jauh lebih rendah dari 5 tahun akan datang. Jadi dalam membuat keputusan begini siapa yang salah? Mereka perlu lihat bukan keputusan, (atau) tanda tangan mereka yang lebih penting. Impak jangka panjang disebabkan tindakan mereka dalam melewatkan penstrukturan semula," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini. 
 
Ujarnya, penyusunan semula industri penting yang turut menjejaskan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu seharusnya disusun kerajaan negeri secara berperingkat terlebih dahulu menerusi tiga syarikat lain, berikutan proses pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH) belum diselesaikan.
 
"Bagi saya, entiti paling utama adalah syarikat bekalan air Selangor SYABAS. SYABAS sudah pun distruktur semula. Sebenarnya dalam perjanjian ini SYABAS sudah pun diberikan, pemiliknya sebelum ini Puncak Niaga. Pampasan semua sudah dibayar, dan syarikat-syarikat yang lain sudah pun masuk bersama dengan Air Selangor sekarang sebenarnya boleh distruktur dahulu. 
 
"Memanglah kalau boleh kita nak SPLASH masuk sekali tetapi kalau SPLASH taknak masuk peringkat pertama kita boleh jalankan yang sudah siap. Ini kos yang lebih besar adalah pada yang sudah siap, membatalkan perjanjian konsesi. Jadi bila lagi lama kita tunggu memanglah kalau projek pertukaran paip-paip semua ini tidak siap, saya tidak rasa kadar air dapat dihasilkan menjelang 2020," tambahnya.
 
Proses pengambilalihan SPLASH tertangguh ekoran gagal mendapat sebutan harga daripada kerajaan pusat, walaupun difahamkan kerajaan negeri sendiri mempunyai ketetapan harga.
 
Azmin sebelum ini, mendakwa kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menawarkan RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014, namun beliau menafikan dakwaan itu. 
 
Sebaliknya, Abdul Khalid menegaskan tawaran akhir yang dibuat pihaknya kepada SPLASH adalah RM250.6 juta sebagai bayaran ekuiti. 
 
Tarikh rundingan pengambilalihan SPLASH, yang sepatutnya dimuktamadkan pada Oktober tahun lalu, kini dilanjutkan sehingga 4 Julai 2018.
 
Jelas Piara, selain berdepan dengan isu penstrukturan air yang sudah beberapa kali ditangguhkan, kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 juga menyumbang kepada krisis air yang berlaku sekarang ini.
 
Katanya lagi, sekiranya loji Langat 2 sudah ada pada ketika ini, tiada isu margin simpanan bekalan air terawat di Selangor yang begitu rendah. 
 
Untuk rekod, kuantiti air yang boleh diagihkan oleh 34 loji rawatan adalah sebanyak 4,686 juta liter sehari (JLH) manakala permintaan bagi air bersih secara purata berjumlah 4,587 JLH.
 
SYABAS sebelum ini melaporkan margin rizab air yang dirawat yang semakin menyusut.
 
Margin rizab air bersih bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berjumlah kurang daripada satu peratus secara purata, dengan margin beralih ke arah negatif pada waktu puncak kerana permintaan air yang semakin meningkat daripada 7.5 juta pengguna.
 
"Tadi saya cakap margin simpanan air yang rendah, disebabkan Langat 2 ini masih belum selesai, sebab itu margin simpanan kita masih rendah. Margin simpanan dalam konteks rakyat marhaen," katanya lagi.
 
Tambahnya, apatah lagi dengan lanjutan projek yang bernilai RM3.7 bilion itu sepatutnya siap pada 2014 tetapi perubahan dasar kerajaan negeri sejak 2008 menyebabkan projek itu hanya dapat disiapkan sepenuhnya pada 2022.
 
"Langat 2 kalau ikut perancangan asal, sepatutnya siap 2014. Itu perancangan asal. Tapi projek tahun itu masih belum diluluskan maka selepas perjanjian penstrukturan semula ditandatangani dan juga kelulusan diberikan untuk pelaksanaan projek Langat 2 barulah kita sekarang mengharapkan siap menjelang 2019,” jelas beliau kecewa.
 
Azmin dalam kenyataannya baru-baru ini turut mengakui bekalan air di negeri itu bakal berdepan tempoh kritikal bermula tahun hadapan sehingga 2019 akibat kelewatan projek LRA Langat 2 yang belum siap sepenuhnya.
 
Projek LRA Langat 2 ditandatangani oleh Abdul Khalid merupakan sebahagian daripada perjanjian utama penstrukturan industri air bersama kerajaan pusat bagi menyelesaikan krisis bekalan air yang melanda Selangor. 
 
Ia tertakluk di dalam Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua pihak pada 26 Februari lalu untuk membina Loji Rawatan Air Langat 2.
 
 

Tiada ulasan: