BETAPA jurutera yang amat diperlukan oleh orang
Melayu tetapi memilih menjual nasi lemak sebagai kehidupannya
menyebabkan Dr Mahathir menempelak kerajaan di bawah Najib.
Itulah nilai kerajaan yang ada hingga jurutera, unuk maka sesuap pagi dan sesuap petang, terpaksa berniaga nasi lemak.
Berniaga nasi lemak tidak hina. Ia adalah lebih mulia dari berniaga
dadah dan perdagangan orang. Nabi pun zaman remajanya jadi jurujual
kepada pedagang wanita terbilang di Makkah. Tetapi itu adalah
permulaannya dalam bidang pekerjaan.
Jurutera yang jual nasi lemak adalah gara-gara ramainya orang
berkelulusan tinggi tetapi tiada pekerjaan. Universiti Perguruan Sultan
Idris mengeluarkan ribuan graduan guru tetapi tidak cukup sekolah untuk
menampung mereka. Sekarang bukan saja lulusan tinggi payah dapat kerja,
ribuan yang sudah bekerja dibuang kerja.
Kita pernah ada bekas tentera tiada kerja dan mereka digaji jadi
komunis oleh komunis yang diperangnya dulu. Baik juga jurutera itu jual
nasi lemak, amat malang kalau dia ambil upah sebagai penumpang kapal
terbang hantar dadah ke negara asing dan ditangkap sebaik mendarat. Atau
dia ambil upah sapu muka abang pemimpin Korea Utara dengan upah RM400.
Mungkin jurutera itu berjiwa berniaga dan bermula dengan buka gerai
nasi lemak. Tapi dalam suasana pengangguran terhormat bertimbun-, payah
orang menerima seorang lulusan sains yang kerajaan atau ibu/bapanya
melabur ribu-ribu menyekolah tinggikannya, bila tamat jual nasi lemak.
Sekalipun minat niaga, kerja dulu di bidang kejuruteraan. Dengan
pengalaman kerja itu nanti, berhenti dan berniaga, nescaya senang jadi
jutawan. Unuk jadi jutawan mesti beniaga, bukan rasuah. Tapi niaga itu
bukan jual nasi lemak. Saudagar nasi lemak juga lumayan tetapi payah
jadi jutawan.
Jika minat jadi saudagar nasi lemak, tidak perlu belajar jadi
jurutera. Ilmu jurutera itu akan membazir bila jadi peniaga nasi lemak.
Bila ilmu kejuruteraan itu hendak digunakan? Kalau lulusan pondok jual
nasi lemak, ilmunya boleh juga untuk beri kuliah di surau dan masjid.
Berguna juga ilmunya.
Ilmu kejuruteraan nescara membazir kecuali kemudiannya dia tinggal
nasi lemak itu pada orang lain, dia kerja di bidang kepakarannya. Teknik
masak nasi lemak dan memasarkannya tidak perlu belajar kejuruteraan,
kecuali nasi lemaknya hendak difrancais ke seluruh dunia seperti ayam goreng Kentucky.
Hendak belajar masak nasi goreng mari jumpa isteri saya. Setelah 40
tahun kahwin saya tidak jemu dengan nasi gorengnya. Nasi goreng kampong,
nasi goreng Hailam, semua saya tidak minat. Tetamu sarapan tidak tolak
jemputan saya kalau diberitahu ada nasi goreng.
Memang payah dapat pekerjaan sekarang, tapi kalau jurutera berniaga
nasi lemak, orang ajaib akan pilihannya, tapi persepsi semua ia adalah
tanda teruknya kerajaan dan urusan Negara kita sekarang. Jurutera
Bangladesh dan Indonesia boleh datang kerja di Malaysia, tetapi jurutera
kita yang menganggur hendak ke mana?
Tanggapan awal kejadian itu ialah Najib telah membazirkan jurutera dan
lulusan pengajian tinggi kita. Najib mungkin wujudkan banyak peluang
pekerjaan,tapi untuk warga Bangladesh dan Indonsia. Bukan untuk belia
kita.
30 tahun dulu Tan Sri Megat Joned kata saya aniaya anak-anak hantar
mengaji Quran di Turki. Balik nak jadi apa. Jawab saya, kita ada 17
universiti. Semua ada fakulti kejuruteraan. Bila satu jawatan jurutera
kosong ribuan yang mohon. Anak saya ke Turki untuk belajar sejarah
Empayar Othmaniyah. Jika dia jadi pakar sejarah Othmaniyah, 17
universiti mengambilnya jadi profesor. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan