SAYA beberapa kali pernah
masukkan foto kaki gajah terikat rantai ini. Orang tanya apa cuba saya
maksudkan dari simbolik gajah berantai ini. Hari ini saya nak ceritakan
apa yang terbakar dalam hati saya sekian lama. Saya lahir dan membesar
di Kuala Terengganu. Saya dan rakan-rakan saya bersekolah di sini. Kami
di Terengganu mendapat keputusan peperiksaan antara terbaik dalam
negara.
Saya bersekolah di sekolah asrama penuh
seperti juga mereka yang terpilih ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang
terkenal di seluruh negara seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar, STAR,
SDAR, MTD, KTK, STF, KIK dan pelbagai sekolah sains seluruh negara.
Kami ada acara tahunan pertandingan
antara SBP-SBP ini. Bahas, Sukan, Kuis Sains Matematik. Adakala kami
mengatasi mereka, adakala kami diatasi. Kami punya daya saing dan tidak
berani direndah-rendahkan orang. Mereka leka, kami potong mereka.
Kami masuk ke universiti pun sama. Anak
Terengganu ramai jadi jagoan dalam pelbagai bidang. Saya bersama Wan
Zainuddin (peguam kanan sekarang) dan Hj Ramli Nuh (bekas YB Umno)
pernah satu pasukan debat di peringkat universiti. Kami jadi johan
kalahkan pasukan negeri-negeri lain. Pemimpin Mahasiswa jika datang dari
Terengganu dipandang, 'lantang dan bekeng', tegas, berprinsip. Gerakan
Mahasiswa dilihat berbisa.
Kami membesar dalam keadaan mengetahui bahawa Terengganu bukanlah 'basat tere',
papa kedana tak ada apa apa. Kami tahu Terengganu kaya-raya. Dalam
perut bumi, atas permukaan bumi, dalam sungai, dalam laut. Serba-serbi
Allah kurnia.
Tun Mahathir tulis Terengganu penyumbang
terbesar petroleum negara. Tapi dia suruh semua yang nak berurusan
industri petroleum pergi Kuala Lumpur, KLCC, Dayabumi. Ratusan kapal
dalam industri petroleum datang dari Johor, Singapura, Lumut, Port
Kelang, Pulau Pinang. Yang kaya raya logistik cari gali petroleum adalah
Sapura Kencana, Mokhzani Mahathir. Yang kaya raya berdagang petrol,
diesel, kerosene adalah Petron Mirzan Mahathir.
Mana ada taikun industri petroleum dari
Terengganu. Sikit-sikit celah gigi adalah! Kita Gergasi Besar yang
terantai oleh skim aturan politik yang merugikan diri. Ditambah pemimpin
dipilih rakyat Terengganu dari kalangan yang kononnya terpilih hok
paling bagus dalam Umno jelas sifatnya berjiwa 'hamba' yang taat
mengkhinzir buta terhadap apa-apa yang diputuskan berkaitan ehwal harta
hatta kedaulatan Negeri Terengganu oleh kepala mereka di Umno pusat.
Tiada pemimpin Umno Terengganu yang
punya gigi di kalangan pemimpin teratas Umno. Jauh sekali dalam BN. Yang
ada dilantik untuk sekadar penyeri pemenuh kuota 'wat lawo'
sahaja. Tajinya tiada. Orang agih peruntukan pembangunan tak setimpal
pengorbanan Terengganu serahkan hak petroleum. Sebanyak 5 peratus
royalti mula-mula dikawal pusat.
Zaman Tun Mahathir wang royalti diarah belanja untuk Perwaja Steel. Buka kilang billion ringgit di Gurun Kedah. Angkut billet
besi dari Terengganu melalui Lebuh Raya Timur Barat hantar ke Gurun.
Berpuluh treler berat setiap hari. Sampai Samy Vellu pening lebuh raya
Jeli Grik asyik runtuh.
Kemudian episod royalti petroleum
dinafikan bayaran kepada kerajaan negeri oleh kotornya amalan
diskriminasi politik Umno sehingga mungkir perjanjian. Wang Ehsan
dikawal Umno. Kena lalui meja Tan Sri Shamsudin Hitam di Treasury.
Kena pohon minta sedekah. Selanjutnya dijenamakan sebagai Dana Khas.
Hinggalah zaman Razif jadi MB, kenyataan "Tiada minyak di Terengganu"
berani diungkapkan tanpa sikit habuk pun bantahan dari Umno Terengganu.
Celaka sungguh.
Kita ada pelabuhan antara paling dalam
di Teluk Kalong Kemaman. Ada pakar pelabuhan berbisik, sayang sungguh
mengapa ditimbus begitu luas, kalau tidak bakal jadi tumpuan
dunia. Pelabuhan Kemaman yang ada pernah diletak di bawah Kuantan Port
Konsortium yang memiliki pelabuhan Kuantan. Sudahnya pelabuhan Kuantan
segar bermaya, pelabuhan Kemaman setakat ada-ada saja.
Seluruh Pantai Timur Semenanjung,
industri pembinaan dan pembaikan kapal moden sudah sedia maju di Kuala
Terengganu. Tapi yang dihargai dan diberi publisiti adalah cuma industri
bot tradisional kayu yang penuh estetik dan eksotik. "Bot
Terengganu bina tak pakai paku, tak pakai skru! Kita pakai pasak saja,
hebat!". Dalam industri kapal komersil hari ini, siapa peduli paku atau
pasak? Yang penting 'fitness for purpose'. Kesesuaian untuk tujuan apa ia dibina.
Orang luar hargai kita. Tapi orang kita,
tak hargai aset yang ada di kalangan kita. Tenaga kepakaran yang ramai
berhijrah merata sampai Singapura dan Timur Tengah. Yang lebih malang,
pakar eletrikal, pakar kemasan dalam paip akhirnya tukar profesion. Jual
nasi bajet pun ada. Nelayan kita paling ramai bilangan di Malaysia.
Tapi miskin. Penghasilan ikan tak munasabah dengan bilangan nelayan.
Saya teringat laporan Ketua Audit Negara
berkenaan bagaimana duit petroleum Terengganu digunakan lebih RM100
juta untuk bina rumah rakyat dalam Negeri Terengganu, yang peliknya
belanja lebih RM700 juta untuk bina rumah di negeri-negeri lain luar
dari Terengganu.
Kontraktor Melayu pun paling ramai di
Malaysia. Sebab itu begitu lama Presiden Persatuan Kontraktor Melayu
Malaysia datang dari Terengganu. Tapi mana ada kontraktor yang besar
yang gah melaksanakan projek di Terengganu? Hari ini kalau ada projek,
orang duduk bercakap, lepas dapat dekat liziz, liziz lagi. Lepas tu barulah dapat dekat syarikat lain, proksi liziz lagi! Itu jadi buah mulut kalangan kontraktor.
Mungkin jika ada senarai panjang anugerah projek di Terengganu, nilai, nama kontraktor, kita boleh telitikan satu persatu, soheh
atau tidak. Sekarang perhatikan pembinaan 50,000 unit rumah rakyat
PRIMA yang diumumkan MB Terengganu. Belum apa-apa sudah umumkan beri
peluang kepada syarikat berpangkalan di Beijing China untuk bina. "Jika
berjaya disempurnakan, kesemua rumah PRIMA akan dibina oleh mereka" ujar
MB Terengganu pada tahun 2015.
Gergasi dari Negara China ini tak buang
masa. Buka kilang keluarkan komponen pasang siap IBS secara
besar-besaran di Hulu Terengganu. Adalah penyusunan korporatnya agar tak
nampak sangat 'beri saja-saja' kepada kontraktor asing. Tapi moral of the story adalah sama. Beruk di hutan disusukan. Anak sendiri mati kelaparan.
Macamlah tiada orang Terengganu yang pandai bina rumah setingkat dua. Ia bukan kondominium, bukan apartment. Sayang
sungguh Negeri Terengganu. Kita kaya, ramai orang pandai-pandai, tapi
rakyat pilih mereka yang tidak selayaknya menjaga kepentingan rakyat dan
negeri. Sedangkan orang Terengganu dihormati dan berposisi selayaknya
dalam PAS dan Gagasan Sejahtera.
Presiden PAS jadi antara tokoh
terpenting dalam dunia Islam Antarabangsa. Punya pengaruh yang boleh
menarik rangkaian perekonomian Islam Dunia ke Malaysia dengan dukungan
Gerakan Islam seluruh dunia. Punya hubungan Institusi-institusi
Pengajian Tinggi dunia. Kita gajah yang kaki kita terbelenggu rantai
besi. Putuskan ikatan. Kita akan bergerak gagah menggegarkan dunia.
HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan