KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
memberi tempoh empat hari kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan
Eng untuk tampil memohon maaf.
Abdul Azeez juga turut menuntut Setiausaha Agung DAP itu, untuk menarik
balik semua kenyataan kenyataan fitnahnya yang mengaitkan Abdul Azeez
dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar
laut Pulau Pinang.
Tegas beliau, sekiranya Guan Eng gagal berbuat demikian dalam tempoh
yang ditetapkan, satu tindakan saman akan dikemukakan oleh pihaknya pada
minggu hadapan.
"Saya beri tempoh empat hari untuk Guan Eng mohon maaf secara terbuka
di semua media arus perdana, menarik balik kenyataan fitnah dan berjanji
untuk tidak mengulangi dakwaan sama terhadap saya.
"Saya juga menuntut Guan Eng mendedahkan sumber maklumat mengenai surat
peguam yang dihantar oleh Konsortium Zenith pada 23 Februari lalu dan
tersebar pada 24 Februari, sedangkan saya hanya terima surat itu pada
petang 28 Februari.
"Jika semua tuntutan ini tidak dipatuhi, saya akan meneruskan tindakan
saman fitnah minggu depan. Ini bukan semata-mata kerana cuba main-main
dengan Azeez Rahim, tapi kerana Guan Eng turut mengaitkan Umno dan
Tabung Haji dalam isu ini," katanya pada sidang media di Parlimen, hari
ini.
Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, itu antara
kandungan surat tuntutan yang sudah dihantar ke pejabat Guan Eng serta
rumahnya di Jalan Pinhorn di Jelutong, Pulau Pinang, petang semalam.
Semalam, Guan Eng dilaporkan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) menahan Abdul Azeez yang didakwa menerima bayaran RM3
juta oleh Konsortium Zenith untuk khidmat rundingan pengurusan risiko
dan pematuhan peraturan bagi projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Ahad lalu, Abdul Azeez memaklumkan Konsortium Zenith menyerahkan notis
menarik balik tuntutan dan meminta maaf secara terbuka kerana
mengaitkannya dengan projek terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan