HALAMAN SANTAI
Jumaat, 2 Mac 2018
Noh: Kenyataan ECRL kerajaan Selangor bercanggah
ALOR SETAR: Kerajaan Selangor dilihat memberikan kenyataan agak bercanggah berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila menyatakan mereka tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk projek itu.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, ini kerana perkara itu sudah dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sebelum ini di mana Selangor menghantar exco perumahan sebagai wakilnya sedangkan mesyuarat tersebut sepatutnya dihadiri menteri besar.
“Saya masih ingat sewaktu mesyuarat MPFN, perkara ini kita sudah dibangkitkan dan pada masa itu diberitahu, kerajaan negeri Selangor akan memberikan kerjasama melaksanakan ECRL dan mereka juga diberikan taklimat dalam mesyuarat itu, dalam mesyuarat dimaklumkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Flat Seri Gemilang hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Pembinaan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Noor Azlan Salleh dilaporkan berkata, sehingga kini kerajaan Selangor masih belum meluluskan tanah kepada syarikat itu untuk melaksanakan projek ECRL di negeri berkenaan meskipun permohonan dibuat pihaknya sebelum ini.
Bagaimanapun semalam, akhbar melaporkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Khim menafikan kerajaan negeri menerima permohonan untuk projek itu, sebaliknya hanya menerima taklimat berkaitan.
Sehubungan itu, Noh yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berharap kerajaan Selangor tidak menghalang sebarang projek pembangunan dibuat kerajaan persekutuan kerana sudah pasti bertujuan memberi manfaat kepada rakyat di negara ini khususnya di Pantai Timur.
“Ini kesan apabila negeri dipimpin oleh pakatan cacamarba…kesan kepada rakyat…macam Kedah senang sebab sama-sama BN, lulus projek hari ini tak ada masalah…di Selangor susah sebab parti berlainan, kadang-kadang yang datang mesyuarat orang lain, tapi bagi kenyataan orang lain pula,” katanya.
Projek ECRL melibatkan laluan sejauh 688 kilometer di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan akan dilaksanakan secara dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan laluan Gombak, Selangor ke Tumpat, Kelantan dan fasa ke-2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang, Selangor yang dijangka siap sepenuhnya secara serentak hujung tahun 2024.
Selain Kelantan, negeri lain terlibat dalam jajaran projek itu adalah Terengganu dan Pahang yang sudah memberi kelulusan tanah masing-masing kepada MRL sekali gus membolehkan kerja pembinaan ECRL dimulakan sejak November tahun lepas.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan