HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mac 2018

Skandal Ijok: Peguam harap peneroka dapat pembelaan

Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Peguam yang mewakili peneroka Ijok, Datuk Kamarudin Ahmad menyifatkan tindakan pantas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah mereman tujuh individu, mampu merungkai masalah skandal penjualan tanah milik kerajaan Selangor itu.
 
Ujar beliau, perkembangan ini diharap dapat membela nasib peneroka-peneroka Ijok ini, sekaligus mengembalikan semula hak mereka yang telah diperdaya oleh kerajaan Selangor.
 
"Saya alu-alukan siasatan dan tangkapan yang dilakukan oleh SPRM kerana kita berharap melalui siasatan SPRM dapat merungkai beberapa soalan yang tidak ada jawapan daripada kerajaan negeri Selangor.
 
"Khususnya mengapa semasa mereka menstruktur penyelesaian dengan pemaju, mengapa tidak dimasukkan gantirugi yang dituntut oleh peneroka kerana rumah lewat diserahkan dan sudah hampir 18 tahun tidak diserahkan," katanya kepada Antarapos. 
 
Setakat ini, tujuh individu telah direman termasuk tiga lelaki yang bergelar Datuk bagi membantu siasatan.
 
Suspek yang berumur antara 34 tahun dan 84 tahun itu ditahan di Petaling Jaya, Selangor dan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
 
Pasukan penyiasat juga membekukan sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM39 juta milik semua suspek yang ditahan.
 
Ketika ini, siasatan SPRM merangkumi penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada lima syarikat iaitu masing-masing menerima lebih kurang RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta dan RM8.5 juta.
 
Penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion itu menimbulkan kontroversi dan dipersoalkan pelbagai pihak, termasuk peneroka. 
 
Dalam pada itu, Kamaruddin mempertikaikan cara rundingan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang menyebelahi pihak pemaju walaupun mereka gagal melaksanakan projek berkenaan.
 
"Ini dah tahun 2018, dalam pada itu, kita lihat penyelesaian yang dibuat antara kerajaan negeri dengan pemaju banyak berpihak kepada pemaju.
 
"Mereka hanya melantik pemaju sebagai pengurus projek perumahan. Jadi, bila projek tak jadi dibangunkan, projek itu terbengkalai dan dibatalkan, maka tanah seharusnya kembali kepada peneroka," kata beliau.
 
 

Tiada ulasan: