HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Januari 2019

Menangkan BN atau Najib akan kian lucu




Apabila Najib Razak berdendang dengan suara yang lemak merdu dan menggetarkan jiwa melalui irama malar segar Kiss And Say Goodbye, fahamlah kita bahawa beliau sedar bahawa beliau berada di jalan paling tepat untuk disayangi.

Sepatutnya langkah itu yang diambilnya semasa mengemudi bahtera besar bernama BN menghadapi asakan PH pada PRU yang ke-14 lalu. Lupakan dulu praktik perhubungan awam lain seperti melepak bersama Wak Doyok atau berlakon drama pendek dengan Khairy Jamaluddin.

Lebih-lebih lagi melepak menonton Manchester United atau bertanyakan nama apa paling sesuai untuk kucingnya. Kita ada banyak benda lain untuk difikirkan selain mencari nama seekor kucing yang mungkin tidak akan pernah dapat disentuh pun, apa lagi membawa faedah kepada kualiti hidup.

Beliau wajar terlibat aktif dalam bidang yang memang ditakdirkan buatnya. Menumpukan aktiviti aksi-aksi seni suara dan seni tari, misalnya.
Dengan bakat yang ada pada beliau, BN langsung tidak memerlukan selebriti seperti Psy pada 2013 dulu. Mana tahu, dengan kehadiran Psy itulah DAP semakin sukar tersungkur di kaki Umno dan BN.

Tapi itulah. Najib sendiri mengakuinya. Sebelum ini ada askar siber di belakangnya pun, tidak banyak yang berguna. Memetik kata-kata beliau sendiri, mereka cuma "menghabiskan beras" saja.

Ikut slanga semasa, ungkapan itu biasanya disebut dengan loghat Negeri Sembilan, iaitu "mengabihkan boreh". Tapi Najib sebagai tokoh yang memiliki daya fikir yang tinggi menegaskan dengan cara tersendiri.

Seorang sudah memadai

Ia menunjukkan bahawa beliau bukan main-main.
Malu apa bossku!

Kini dengan mengendalikan akaun media sosialnya sendiri, barulah nampak taring sebenar Najib. Ia taring yang tersembunyi dan sangat malang kerana gagal dikeluarkan ketika BN memerlukannya dulu.

Semalam tular klip video Najib menyanyi. Aksi itu sepatutnya boleh nampak begitu sempurna kalau beliau berdiri dan menyanyi secara solo.

Watak-watak sampingan yang ada di kiri, kanan dan belakangnya tidak banyak membantu menghidupkan babak yang dipaparkan.

Tidak dapat dipastikan mengapa pengarah klip video itu perlu menambah sekumpulan anak muda berdiri bersama Najib. Jika mahu menjadikan klip video itu kelihatan lucu, tanpa mereka pun ia memang sudah lucu.

Malu apa bossku!

Dan sepatutnya Najib boleh beraksi dengan lebih santai. Menyanyi sambil menari, misalnya. Ia bukan sesuatu yang janggal atau langka. Sebagai perdana menteri beliau sudah pernah menyanyi dan menari di atas pentas di depan khalayak ramai.

Sejak tidak lagi menjadi perdana menteri kebanyakan penampilan Najib kelihatan begitu mengasyikkan dan semula jadi. Ia bukan yang dibuat-buat.

Najib menyanyi, PH tersedak

Pedulilah kalau dulu beliau menari dengan lagu Jimmy Palikat dan sekarang The Manhattans. Lagu adalah lagu. Apa irama dan siapa penyanyinya, tak penting. Yang penting, ia melibatkan Najib, tokoh King of Trolls kebanggaan ramai.

Dalam keadaan sekarang, pilihan terbaik buat beliau ialah menggiatkan lagi troll berbanding yang sudah-sudah. Kalau boleh, keluarkan lagi klip video yang seperti lagu saduran Kiss And Say Goodbye itu.

Ia bukanlah susah sangat. Sudah tentu beliau mempunyai idea yang banyak dan tidak putus-putus. Ada banyak lagi lagu malar segar yang boleh didendangkan. If Tomorrow Never Comes, misalnya.
Biarkan PH semakin tersedak dengan dendangan lagu-lagu sebegitu.

Ia boleh dilakukan dengan bebas dan tanpa ada askar siber di belakangnya, beliau tidak perlu memikirkan masalah "beras" kalau-kalau dihabiskan secara sia-sia. Stok quinoa pula rasanya tentu tidak timbul sebarang masalah.

Secara analogi, Najib kini seperti seorang pemandu kereta lumba Formula 1 yang penuh bergaya. 'Aksesori' bagi kenderaan laju itu ialah segala troll dan aksi beliau di media sosial.

Tindakan paling betul boleh dibuat sekarang ialah memasukkan gear paling tinggi lalu menekan pedal minyak sehingga rapat ke lantai. Terus memecut tanpa mempedulikan apa yang ada di depan, waima bonggol atau lubang sebesar mana pun.

Mungkin ada krisis baru

Kejayaan buat Najib semakin hampir. Jangan sesekali gentar. Apa saja yang menghalang di depan, langgar saja.

Ia suatu keperluan mendesak kerana tanggal 26 Jan hanya beberapa jam saja lagi. Ia adalah detik terbaik buat BN meneruskan kejayaan mereka mengalahkan PH dalam pilihan raya kecil selepas PRU ke-14 dulu.

Kita sedia maklum dalam empat PRK sebelum Cameron Highlands, Umno - dan PAS - sangat hampir kepada kejayaan mengalahkan PH.

Setidak-tidaknya mereka berpuas hati kerana pengundi 'memboikot' PRK berkenaan dek bosan kepada PH.

Bak kata orang bestari, mereka bukan kalah, tapi tertangguh kemenangan.

Kali ini - di Cameron Highlands - tidak kedengaran lagi setakat ini bagaimana Umno dan PAS berkempen dengan menggunakan hujah berkenaan. Mungkinlah sempena kedudukan kerusi parlimen itu di tanah tinggi maka pengundi tidak lagi perlu bosan dengan PRK seperti di Sungai Kandis dan Seri Setia.

Satu lagi hal yang menarik ialah, kelucuan Najib nampaknya bertambah dari satu PRK ke satu PRK yang lain. Ia mula benar-benar ketara apabila PRK Port Dickson diadakan pada 13 Okt lalu.

Justeru, jika PH ditakdirkan menang di Cameron Highlands, ada kemungkinan tahap kelucuan dan aksi berbisa Najib akan meningkat dengan lebih ketara berbanding sekarang.

Ia mungkin mencetuskan satu krisis baru dalam kalangan rakyat negara ini. Mereka akan lebih banyak ketawa berbanding bekerja, misalnya.
Dan jangan lupa. Selepas ini ada sekurang-kurangnya dua lagi PRK. Malu apa bossku! 

Tiada ulasan: