HALAMAN SANTAI
Jumaat, 25 Januari 2019
Menteri: Akta anti-diskriminasi boleh bantu tapi tak mencegah
PETALING JAYA: Dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri setuju undang-undang anti-diskriminasi boleh membantu menghalang diskriminasi di negara ini tetapi mengingatkan undang-undang itu bukanlah penyelesaian terbaik.
Mengulas kes diskriminasi terbaru yang berlaku ke atas sepasang suami isteri yang ditolak menyewa rumah di Kuala Lumpur kerana “kelihatan seperti orang India dan Melayu”, Datuk Mujahid Yusof Rawa dan P Waytha Moorthy berkata isu-isu lain seperti sensitiviti agama sering dimainkan.
Mujahid yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam berkata tuan rumah mungkin mempunyai alasan agama apabila mahukan penyewa dengan latar belakang tertentu.
“Ia seperti mana yang anda katakan,” katanya kepada FMT. “Jelaskan mengapa anda mungkin mahu penyewa tertentu, tetapi anda tidak boleh menolak seseorang berdasarkan bangsa atau agamanya.”
Dalam beberapa kes, katanya, orang secara tidak sengaja mendiskriminasi orang lain kerana kejahilan. Beliau berpendapat undang-undang hanya diperlukan apabila diskriminasi disengajakan.
“Undang-undang tidak akan menyelesaikan masalah itu sepenuhnya, tetapi ia diperlukan kerana anda tidak boleh membiarkan masyarakat menentukan niat mereka untuk mendiskriminasikan orang lain,” katanya.
Beliau juga mencadangkan undang-undang tersebut perlu dilengkapi dengan pendidikan untuk mengelakkan kejadian seperti itu berulang.
Bagaimanapun, Mujahid dan Waytha, dalam mengulas mengenai isu itu, juga mengakui tuan rumah mungkin mempunyai alasan agama dalam memilih penyewa berdasarkan latar belakang tertentu, tetapi ini perlu dijelaskan dengan betul.
Waytha, menteri yang bertanggungjawab menjaga perpaduan negara dan kesejahteraan sosial, juga menggesa komunikasi yang jelas antara tuan rumah dan bakal penyewa bagi mengelak salah faham.
“Menyewa rumah adalah keputusan peribadi,” katanya. “Kadang-kadang tuan rumah mungkin mempunyai alasan agama mengapa mereka lebih suka penyewa yang memiliki kepercayaan yang sama.”
“Tuan rumah harus jelas mengenai jangkaan mereka tentang penyewa mereka, peraturan yang mereka mahukan penyewa patuhi dan dari situ, membenarkan penyewa menentukan sama ada mereka ingin menyewa tempat itu atau tidak.”
Katanya, undang-undang terhadap diskriminasi tidak menyelesaikan semuanya bagi menangani situasi itu, ia juga memerlukan perubahan minda.
Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata pendidikan adalah kunci untuk mendidik rakyat Malaysia untuk melihat kebaikan masyarakat, berbanding bersifat perkauman.
Beliau memberitahu FMT, ia tidak boleh diterima untuk mengandaikan orang itu teruk berdasarkan bangsa mereka, lebih-lebih lagi pada pada zaman ini.
“Walaupun ia adalah hak pemilik rumah untuk menyewa kepada siapa yang dia mahu, diskriminasi kaum tertentu sangat cauvinistik.”
Divyang Hong, yang berdepan masalah yang sama di Pulau Pinang berkata situasi itu “tidak masuk akal”.
“Walaupun layak, penyewa yang bertanggungjawab tidak akan menjadi realiti kepada mereka yang tidak kelihatan seperti yang mereka mahukan,” katanya.
Walaupun fasih bertutur bahasa Mandarin, Hong yang berketurunan Cina dan India ditolak beberapa tuan rumah yang hanya mahukan penyewa Cina.
Dia akan berpindah dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur di mana dia bimbang jika pencarian rumah kali ini mengalami kesukaran.
“Saya sebenarnya agak bimbang,” katanya kepada FMT.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan