HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Januari 2019

Dr M: ‘Saya tidak tahu kontrak CCCC dah tamat atau tidak’

THE MALAYSIAN TIMES



PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mengetahui sama ada kontrak kepada China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sudah ditamatkan atau tidak.

Ditemui pemberita selepas melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) di sini hari ini, Dr Mahathir berkata beliau baru sahaja pulang dari siri lawatan ke luar negara dan tidak mengetahui mengenai penamatan kontrak berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media berkaitan kontrak CCCC.

Laporan media baru-baru ini mendakwa Malaysia ketika ini dikatakan dalam fasa mencari kontraktor baharu bagi menerajui projek ECRL, selepas menamatkan penganugerahan kontrak itu kepada CCCC.

Berdasarkan maklumat sumber, kerajaan sedang merangka usaha supaya kos pembinaan projek rel mega bagi manfaat penduduk Pantai Timur itu dikurangkan kepada separuh berbanding nilai awal, iaitu daripada RM81 bilion kepada hanya RM40 bilion.

“Saya tidak tahu dah tamat (kontrak) atau tidak, tetapi salah satu cara untuk kita menangani masalah ini ialah dengan menamatkan kontrak tetapi apabila kita tamatkan kontrak, kita kena bayar pampasan banyak bilion juga.

“Kita akan bincangkan perkara ini,” kata Dr Mahathir.

Tiada ulasan: