HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 September 2019

Ahli perniagaan mengaku salah beri rasuah pada Ku Nan


   
Ahli perniagaan Tan Boon Eng yang didakwa memberi rasuah sebanyak RM1 juta kepada bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor membuat kejutan apabila mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif hari ini.

Proses itu dilakukan di hadapan kamera di mana pihak media tidak dibenarkan membuat liputan prosiding mahkamah awal hari ini.

Sehubungan itu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Tan membayar denda RM1.5 juta selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Tengku Adnan dalam melakukan kesalahan itu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, Tan akan dihukum penjara setahun sekiranya dia gagal membayar denda itu esok.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata Tan akan menjadi salah seorang saksi dalam perbicaraan rasuah terhadap bekas menteri wilayah persekutuan itu.

Pada November tahun lepas, Tan didakwa mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memberi suapan kepada Tengku Adnan melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun CIMB bekas menteri itu.

Pembayaran itu didakwa dibuat pada 27 Dis 2013 untuk Tengku Adnan, yang dirujuk sebagai Ku Nan, kerana memberi kelulusan kepada permohonan syarikat itu untuk menaikkan nisbah plot bagi tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Tan juga menghadapi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Tengku Adnan dalam melakukan kesalahan itu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: