Peguam bela Hannan Ishak berkata beliau dimaklumkan mengenai kekurangan air itu semalam oleh anak guamnya yang ditahan reman di penjara tersebut.
Beliau berkata pemotongan bekalan air menyebabkan kehidupan tahanan menjadi teruk kerana mereka sukar untuk ke tandas, membersihkan diri dan menunaikan solat.
Beliau memberitahu FMT, sesetengah banduan enggan makan untuk mengelakkan diri daripada berulang-alik ke tandas kerana mereka tidak dapat membersihkan diri kerana kekurangan air.
Hannan menambah tahanan hanya dibenarkan meminum setengah gelas air sehari.
“Malah anak guam saya tidak boleh mengambil ubatnya kerana air tidak mencukupi,” kata Hannan.
“Sel tahanan kotor dan berbau. Bangkai tikus dan kucing belum dialih atau dibersihkan,” tambahnya.
Keadaan itu juga bermakna tahanan terdedah kepada pelbagai penyakit dan diletakkan di bawah tekanan, yang kemudiannya boleh menyebabkan pergaduhan dalam kalangan banduan.
Hannan berkata surat aduan rasmi telah dihantar kepada pengarah penjara.
Ketika dihubungi, seorang jurucakap penjara Sungai Buloh berkata masalah itu disebabkan oleh paip bocor di penjara, sambil menambah isu itu sudah diselesaikan 2 hari lalu dan tekanan air kembali normal.
Bagaimanapun, Hannan menyangkal dakwaan itu kerana anak guamnya dan banduan lain mengadu tentang kekurangan air pada petang semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan