MENGEDAR risalah dan memberi bimbingan adalah pendekatan diambil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi menangani gejala ponteng solat Jumaat.
Pengarahnya, Mohd Zaidi Ramli berkata, JHEAINS akan meletakkan kakitangan wanita di lokasi tertentu seperti premis perniagaan dan tempat terbuka untuk mengedarkan risalah berkaitan solat Jumaat.
Beliau berkata, kaedah itu dilihat bertepatan berikutan kaedah penangkapan sukar untuk dilaksanakan kerana memerlukan bukti kukuh.
“Bagaimana untuk kita buktikan seseorang itu meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut. Begitu juga dengan musafir yang dikecualikan solat Jumaat.
“Tiada mekanisme dalam menentukan perkara itu. Apabila tidak cukup kriteria kesalahan maka kita tidak boleh membuat tangkapan kecuali dibuktikan,” katanya ditemui Harian Metro ketika menghadiri program Street Dakwah di Seremban semalam.
Bagaimanapun, Mohd Zaidi berkata, lelaki yang mendapat ruksah dan keringanan untuk meninggalkan solat Jumaat hendaklah menghormati waktu itu dengan tidak berkeliaran di kawasan terbuka sehingga mengundang persepsi negatif.
“Disebabkan itu kita mengambil pendekatan meletakkan kakitangan untuk memberi bimbingan dan menerangkan kepada mereka jika ruksah apa patut dibuat, janganlah berkeliaran dekat masjid atau makan di kedai,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, JHEAINS turut melaksanakan program ‘Street Dakwah’ terutama pada malam sambutan seperti ambang merdeka untuk mendekati golongan muda dan menyampaikan dakwah.
Katanya, pihaknya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan turun padang untuk menyampaikan dakwah sekali gus dapat mengikis persepsi negatif terhadap salah faham Islam.
“Kita membuat pendekatan lebih mesra supaya orang ramai positif terhadap fungsi jabatan agama yang bukan saja sebagai penguat kuasa untuk menangkap orang tetapi juga menyampaikan dakwah dan nasihat sesama Islam,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, ia antara usaha JHEAINS untuk mengekang masalah moral di kalangan anak muda di negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan