HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 September 2019

Dua sahaja calon UPSR di SK Tanjong Jawa

Dua orang
Guru besar SK Tanjong Jawa, Khaire Md. Zen (dua dari kanan) bergambar bersama dua calon UPSR sekolah itu, Irdina Iwani (tengah) dan Nurul Zaidah (dua dari kiri) sebelum peperiksaan bermula hari ini.


SABAK BERNAM - Hanya dua murid Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Jawa menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula semalam. 

Kedua-dua mereka adalah Irdina Iwani Abd. Jalil dan Nurul Zaidah Arshad masing-masing berusia 12 tahun seterusnya menjadikan SK Tanjong Karang mempunyai calon UPSR paling sedikit di daerah ini.

Guru besarnya, Khaire Md. Zen berkata, jumlah calon teramai di sekolah tersebut dicatatkan pada tiga tahun lalu dengan enam orang murid.

Katanya, pada UPSR tahun lalu menyaksikan seorang sahaja murid sekolah itu menduduki peperiksaan awam tersebut.

"Enrolmen sekolah ini yang dikategorikan sekolah kurang murid (SKM) pada tahun ini hanya mempunyai 15 murid sahaja.

"Ini meliputi dua murid bagi kelas Tahun Enam, Tahun 5 (3), Tahun 4 (4), Tahun 3 (3), Tahun 2 (2) dan Tahun 1 (1) dengan tenaga pengajar seramai tujuh orang guru," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut,beliau berkata, pihaknya menaruh harapan kepada dua calon UPSR itu dapat mengekalkan pencapaian lulus 100 peratus seperti pencapaian tahun-tahun sebelumnya selain mencatat gred purata sekolah (GPS) yang membanggakan.

"Pihak guru sekolah ini telah memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan dua orang murid ini bagi menghadapi peperiksaan.

"Jadi besar harapan kami Irdina Iwani dan Nurul Zaidah bukan sahaja lulus 100 peratus, malah dapat mengatasi pencapaian terbaik Gred Purata Sekolah (GPS) 1.20 sekolah ini yang dicapai pada 2015 lalu," katanya.

Untuk rekod,  SK Tanjong Jawa mencatat kejayaan manis apabila diumumkan sebagai Sekolah Kebangsaan terbaik daerah Sabak Bernam pada 2015.

Ini berikutan dua calon UPSR bukan sahaja lulus 100 peratus, malah memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 1.20 dalam UPSR sehingga melayakkan sekolah menerima empat anugerah kecemerlangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. - K! ONLINE

Tiada ulasan: