Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
Label rasis hanya untuk penuhi kehendak politik tanpa sebarang asas
KUALA LUMPUR– Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menegaskan, Kempen Beli Produk
Muslim adalah usaha untuk membantu peniaga umat Islam yang selama ini tidak
mempunyai keupayaan kewangan untuk membuat pemasaran.
Pengerusinya,
Haji Aminuddin Yahaya berkata, kempen berkenaan tidak bermaksud untuk memboikot
produk daripada pengusaha bangsa-bangsa lain, malah tiada kena mengena dengan
mana-mana parti politik sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang.
Beliau
mengakui UMMAH kecewa dan berasa terkilan apabila ada beberapa pemimpin politik
negara mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan kempen ini kepada isu perkauman,
agama serta parti-parti politik.
“UMMAH
menolak istilah rasis yang digunakan oleh sesetengah pihak kerana ia adalah
satu istilah yang digunakan bagi memenuhi kehendak politik mereka tanpa ada
sebarang asas. Ertinya berniat jahat untuk mematikan kempen ini dan semangat
membantu saudara semuslim,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Taman
Melawati, Gombak hari ini.
Mengulas
lanjut Aminuddin berkata, kempen membeli produk muslim juga memfokuskan kepada
peniaga yang tidak diberi ruang oleh pasaraya-pasaraya besar untuk memasarkan
produk mereka.
“Tidak
ramai pengusaha Melayu yang boleh kekal dalam perniagaan. Kita selalu terdengar
produk-produk yang dijual di pasaran diragui kehalalannya.
“Ini
menyebabkan orang Islam tidak selesa kerana menjejaskan ibadah mereka. Jadi
usaha ini adalah langkah untuk membantu orang Islam mendapatkan produk-produk
yang sahih dari segi kebersihan dan kehalalannya,” katanya.
Selain
itu, Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata,
kempen ini juga adalah usaha untuk melestarikan jurang ekonomi antara
Bumiputera dan bukan Bumiputera supaya mereka dapat berdiri sama tinggi dan
duduk sama rendah dengan bangsa lain.
“Jurang
ekonomi yang terlalu besar akan menimbulkan masalah sosial. Kerajaan sepatutnya
menyokong usaha ini bukan memperlekeh. Agama Islam sendiri menuntut kita
membantu sesama muslim.
“UMMAH
menyeru semua rakyat muslim terutamanya untuk terus mengutamakan produk muslim
dan tidak perlu takut dengan kenyataan mana-mana pemimpin politik. Ini adalah
sebahagian daripada amal soleh,” katanya.
Terdahulu
lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan tidak bersetuju dengan
kempen memboikot produk keluaran bukan Bumiputera yang disifatkannya tindakan
golongan berfikiran cetek.
Kelmarin,
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula mendesak supaya kempen ini dihentikan
kerana mendakwa ia tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan