HALAMAN SANTAI

Isnin, 16 September 2019

Mahathir: Kerajaan mahu tumpu pembangunan Sabah, Sarawak bawah wawasan baru


Pengerusi PPBM merangkap Perdana Menteri Dr Mahathir 
Mohamad berucap pada Program ‘Berambeh’ parti itu di Kuching 
hari ini.
 
KUCHING: Dr Mahathir Mohamad memberikan komitmen bahawa kerajaan pusat akan memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan di Sarawak dan Sabah selaras Wawasan Kemakmuran Bersama yang baru diperkenalkan.

Perdana menteri mengakui keadaan di kedua-dua negeri berkenaan masih kurang diberi tumpuan berbanding negeri di Semenanjung.

“Kita dapati kerajaan sebelum ini tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada negeri Sarawak. Kalau kita bandingkan kita lihat keadaan di Sarawak ini yang kaya dengan minyak, tetapi pembangunan tidak diagih sama rata antara rakyat di negeri Sarawak sendiri dan antara Sarawak dan Semenanjung.

“Ini kita tentukan daripada kajian yang kita lakukan bahawa kita perlu beri tumpuan lebih kepada Sarawak dan Sabah supaya rakyat di negeri ini akan dapat layanan sama dengan Semenanjung,” katanya dalam ucapannya pada program Berambeh (Ramah Mesra) PPBM Sarawak di sini, hari ini.

Perdana menteri menjelaskan tumpuan lebih kepada 2 negeri berkenaan bukan atas sebab pilih kasih.

“Tetapi kerana kenyataan sebenar bahawa walaupun negeri Sarawak negeri besar daripada (negeri) Semenanjung, tetapi pembangunannya agak ketinggalan, melainkan di bandar, di luar bandar kita dapati kedudukan tidaklah seperti kita kehendaki.

“Sebab itu satu dasar baru diperkenalkan kerajaan pusat untuk negara kita dan dasar baru ini adalah untuk lihat agihan kekayaan secara adil dan saksama. Kita ingin lihat pembangunan bersama,” katanya.

Menghuraikan lagi mengenai dasar baru yang diperkenalkan sebaik selesai mesyuarat khas Kabinet Sabtu lepas, Mahathir berkata, pelaksanaan dasar berkenaan berbeza daripada dasar yang diperkenalkan sebelum ini.

“Kita nak kemakmuran bersama ini dicapai pada penghujung usaha kita, bukan di permulaan. Kali ini kita ingin tentukan yang kurang bernasib baik diberi peluang hanya dengan syarat mereka dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini, bukan untuk menjual lesen dan kontrak (yang diberikan), tetapi mereka akan berusaha sendiri.

“Malangnya mereka tidak berupaya dan tidak ada kemahiran.

“Untuk ini kita akan betulkan dengan cara memberi latihan, pengajaran tentang pengurusan wang, tentang perniagaan supaya bila dapat peluang, mereka tidak perlu jual kepada orang kaya, sebaliknya akan guna peluang itu untuk tingkat pendapatan. Dengan itu jurang miskin dan kaya akan berkurangan,” katanya.

Mahathir berkata, wawasan berkenaan disusun dengan rapi supaya ia dapat dilaksanakan dengan jayanya, namun berharap rakyat dapat memberi sokongan.

“Kalau kita beri peluang, tetapi mereka tak ingin berusaha tingkatkan kebolehan, maka keadaan sediakala ini akan berterusan, tetapi kalau mereka sanggup kerja kuat melatih diri dan beramanah tidak menjual segala peluang, insyaAllah mereka akan tingkatkan kejayaan sendiri.

“Kita berjaya menyusun dan memahami bagaimana ‘shared prosperity’ ini dapat dicapai. Ini semua kita akan dapat lakukan kerana kerajaan ini memang berminat untuk memperhambakan diri kepada rakyat, tetapi rakyat juga harus menyambut cadangan ini supaya ia berjaya,” katanya.

Tiada ulasan: