HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 September 2019

Piagam Muafakat UMNO-PAS mesti segar, inklusif

ainulillia  

 

Rakyat ternanti-nanti... Isi kelompongan atau ulang kesilapan dulu

BANGI– Rakyat ternanti-nanti pengisian Piagam Muafakat UMNO-PAS sama ada bakal mengisi kelompongan kerajaan Pakatan Harapan ketika ini, atau hanya mengulangi kesilapan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Presiden Gerakan Islam sederhana, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya berkata, secara umumnya, masyarakat teruja dengan perpaduan yang dibawa oleh kedua-dua parti orang Melayu. 

Namun, katanya, perkara yang lebih kritikal adalah agenda yang hendak dibawa oleh kedua-dua parti.
“Umum tahu BN kalah kerana kelompongan yang ada, namun bila kita lihat kerajaan baru hari ni bukan sahaja lompong, tapi bocor segala-galanya. 

“Kerajaan sekarang bukan kerajaan Melayu lagi, ia kerajaan orang lain, agenda orang lain, kerana saya tengok pimpinan Melayu tiada apa-apa agenda. Berbeza dengan DAP, mempunyai agenda macam-macam. 

“Sebab itu kita boleh nampak orang Melayu dalam kerajaan bergaduh, kerana mereka tiada apa-apa agenda. Sebaliknya, pengisian parti Cina khususnya, DAP sangat terancang,” katanya dalam Wacana Intelektual Perpaduan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. 

Haji Aminuddin menegaskan, Taawun Siyasi yang diusahakan UMNO-PAS bukan sahaja penting pada fizikalnya, tetapi sangat kritikal pada kandungan piagam serta agenda. 

Beliau berkata, rakyat telah menyaksikan apabila BN diberi mandat selama 60 tahun, kedudukan orang Melayu masih terkebelakang. 

“Pendapatan isi rumah Melayu masih tercorot berbanding Cina dan India. 59 peratus orang Melayu miskin. Kenapa ini berlaku, pencapaian dari segi ekonomi, target 30 peratus tapi kini tak sampai 20 peratus. Kenapa perkara ini boleh berlaku.

“Jadi saya ternanti-nanti apakah piagam yang akan dikeluarkan nanti. Apakah piagam ini akan menjawab kelompongan, kebobrokan yang ada pada kerajaan hari ini, ataupun ia hanya mengulangi apa yang ada dahulu. Saya harapkan ianya segar dan inklusif,” katanya. 

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) memaklumkan, kebanyakan orang Melayu terutama anak muda  menyatakan mereka meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap perpaduan ini.

“Tetapi mereka memberi amaran jika ini gagal, kemungkinan besar mereka akan ‘give up’ dengan politik. Siapa yang memerintah mereka dah tak kisah. Ini sangat bahaya, dalam konteks survival orang Melayu, dalam konteks memartabat agama Islam yang mana kita tahu hari ini, hari-hari Islam dihina,” katanya.


Tiada ulasan: