HALAMAN SANTAI

Isnin, 16 September 2019

Seberang Perai diisytihar bandar raya

Rozali Mohamud memegang cokmar datuk bandar sebagai 
simbol kuasanya ke atas Seberang Perai, Pulau Pinang.
 
BUTTERWORTH: Seberang Perai Pulau Pinang diisytihar sebagai bandar raya hari ini, menjadikannya majlis bandar raya terbesar yang meliputi kawasan seluas 747km.

Yang Dipertua Negeri Abdul Rahman Abbas menyerahkan suratcara pengisytiharan dalam satu upacara di Dewan Milenium di Kepala Batas setelah menerima persetujuan Yang di-Pertuan Agong, baru-baru ini.

Rozali Mohamud, yang merupakan presiden majlis bandar raya itu dilantik sebagai datuk bandar dan menerima rantai pejabat dan cokmar daripada yang dipertua negeri.

Seberang Perai adalah terma geografi yang digunakan bagi menggambarkan gabungan 3 daerah di tanah besar – Butterworth, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal.
Rozali Mohamud menerima watikah pelantikan daripada Yang 
Dipertua Negeri, Abdul Rahman Abbas.
Ia kini termasuk 13 bandar raya lain yang diiktiraf di negara ini – Kuala Lumpur, Ipoh, Petaling Jaya, Shah Alam, Alor Setar, Johor Bahru, Melaka, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Miri, Kuching Utara, Kuching Selatan dan Pulau Pinang.

Seberang Perai ditukar ke status bandar raya pada Julai 2018 selepas ia memenuhi kriteria yang mempunyai populasi lebih 500,000 dan hasil sebanyak RM100 juta.

Penduduknya sekarang ialah 946,200, menurut Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Kabinet persekutuan memberi kelulusan permohonan status bandar raya oleh kerajaan Pulau Pinang pada Mei. Pulau Pinang menerima status bandar raya pada 2015.

Pengumuman hari ini adalah momen yang membanggakan bagi Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan ahli majlis eksekutif Jagdeep Singh Deo, yang berusaha sekian lama untuk mendapatkan status bandar raya bagi Seberang Perai.

Rozali memberitahu pemberita terdapat “berita baik” kepada penduduk Seberang Perai dengan 18 pelan baru untuk bandar raya itu.
Rozali Mohamud menandatangani surat pelantikannya, disaksikan 
Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata matlamat jangka panjang adalah untuk menjadikan Seberang Perai sebagai bandar rendah karbon menjelang 2022 – mengurangkan 8 tan karbon dioksida pada masa itu – dan menjadi neutral karbon menjelang 2030 serta mencapai status “sifar karbon” menjelang 2050.

“Ini adalah wawasan dunia dan kami cuba mencapai matlamat ini dalam program kami untuk memerangi perubahan iklim.

“Bandar sifar karbon bermakna terdapat sedikit kenderaan di jalan raya, dengan kereta yang digunakan terutamanya untuk perjalanan jarak jauh, dan beralih kepada basikal untuk kebanyakan perjalanan,” katanya.

Rozali menyertai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan pada 1982.

Beliau menjadi penolong pengarah jabatan penilaian Majlis Perbandaran Seberang Perai pada 1990 dan mengetuai jabatan itu pada 2002. Beliau menjadi setiausaha majlis pada 2011 dan presiden perbandaran pada 2017.

Tiada ulasan: