Seorang pemimpin Pemuda Umno hari ini menyangkal dakwaan bahawa parti itu akan musnah dengan sendirinya seperti andaian yang dibuat oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berhubung masa depannya.
“Umno tidak akan musnah seperti mana diharapkan cauvinis DAP. Bahkan saya boleh katakan dengan yakin bahawa kini Umno semakin kuat dan untuh,” kata Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah.
Dia mendakwa bahawa tidak seperti DAP yang sering meniup sentimen kebencian antara kaum, Umno bukan parti rasis tetapi sebaliknya menyatukan pelbagai kaum di bawah BN.
“Jika Lim tidak percaya, beliau boleh meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan parlimen dibubarkan kemudian kita boleh lihat Umno atau DAP yang akan musnah,” katanya.
“Untuk pengetahuan Uncle Lim Kit Siang, rakyat (juga) sudah bosan dan marah dengan janji haprak Pakatan Harapan yang hanya sekadar penipuan untuk menumbangkan BN.
“Ini kerana kos sara hidup semakin mencengkam, harga barang tidak turun, harga minyak tak berubah, tol belum lagi dihapuskan, peluang pekerjaan untuk anak muda tak muncul-muncul, nilai matawang terus menjunam dan akhirnya manifesto diisytihar bukan kitab suci yang perlu dipatuhi,” katanya.
Menurut pemimpin Umno Johor itu, keanggotaan parti berkenaan semakin meningkat dan sokongan rakyat juga bertambah susulan kerjasama dengan PAS, walaupun Lim mendakwa sebaliknya.
“Orang Melayu, Bumiputera bersatu teguh di bawah panji perjuangan Umno yang sememangnya telah terbukti memperjuangkan agama dan tanah air sejak lebih 60 tahun. Begitu juga, sokongan rakyat semakin padu apabila Umno dan PAS menjalinkan taawun siyasi.
Mohd Hairi mengulas kenyataan media Lim, semalam yang mengatakan bahawa beliau bersetuju dengan pendapat ahli parlimen Kepong Lim Lip Eng yang meminta kerajaan supaya tidak membatalkan pendaftaran Umno di sebalik salah laku beberapa pemimpinnya.
Lim yang juga shli parlimen Iskandar Puteri juga mendakwa bahawa selepas beberapa siri skandal rasuah, Umno kini berada dalam “peringkat lanjut proses memusnahkan dirinya apabila ia melancarkan kempen klepto-teokrasi bersama dengan PAS.”
Lim juga mengimbas kembali bagaimana DAP sebelum ini diugut dengan penggantungan pendaftaran berasaskan tuduhan kononnya pemilihan dalaman parti pada Disember 2012 dilaksanakan dengan cara yang tidak demokratik dan melanggar undang-undang.
“Di dalam sebuah demokrasi, biarlah pengundi yang memilih sama ada mereka berhasrat untuk menghumban sesebuah parti politik itu ke dalam tong sampah.
“Kerana inilah saya bersetuju dengan Lim Lip Eng -- jangan batalkan pendaftaran Umno tetapi biarlah ia musnah dengan sendirinya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan