HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Oktober 2019

'Arul Kanda kata PMO mahu kami tinggalkan M'sia untuk elak PAC'

MALAYSIAKINI

   

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dikatakan mengarahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan penggantinya Arul Kanda meninggalkan negara ini apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mahu menyoal mereka selepas skandal 1MDB meletus pada tahun 2015.

Shahrol memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bahawa Arul menyampaikan mesej itu kepadanya.

"Saya masih ingat kali pertama pada tahun 2015 apabila kami dikeluarkan surat oleh PAC untuk hadir - Arul dan saya sendiri.

"Tetapi saya bersama Arul pada masa itu dan Arul beritahu saya bahawa arahan daripada Pejabat Perdana Menteri adalah untuk melancong ke luar negara supaya kami tidak akan dapat hadir," katanya.

Ketika disoal balas oleh timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram, saksi kesembilan dalam perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak itu berkata beliau pergi ke Singapura pada hari berikutnya.

Sri Ram: Siapa di PMO (yang minta supaya tinggalkan negara ini)?

Shahrol: Itulah yang Arul kata, saya tak tahu siapa yang dimaksudkan.

Ram Sri: Arul Kanda, di telefon, beritahu kamu untuk cepat-cepat keluar melancong dari sini?

Shahrol: Dia kata PMO mahu kami cepat-cepat melancong tanpa banyak kata.

Shahrol juga dipanggil oleh PAC untuk menghadiri pendengaran mengenai 1MDB pada hari-hari awalnya pada tahun 2010.
Shahrol tidak mengelakkan pendengaran PAC pada tahun 2010 tetapi diberi taklimat oleh ahli perniagaan yang dikehendaki Jho Low bagaimana untuk memberikan respons terhadap soalan.

Shahrol mendedahkan semasa pendengaran itu, beliau juga diberi taklimat oleh Anggota Parlimen Kota Belud yang juga ahli PAC pada masa itu, Abdul Rahman Dahlan.

Shahrol berkata beliau akhirnya memberi keterangan selepas pada awalnya cuba  mengelakkan pendengaran PAC pada 2015.

Kali ini, beliau berkata,  lebih banyak persediaan mesyuarat dilakukan berbanding pendengaran PAC yang pertama pada tahun 2010. Terdapat juga mesyuarat yang diadakan selepas pendengaran PAC.

Shahrol: Akhirnya saya menghadiri (pendengaran PAC).

Sri Ram: Apabila kamu pergi, ada taklimat (sebelum pendengaran itu)?

Shahrol: Ya, tetapi banyak orang yang terlibat. Talking point adalah sama. Bagaimanapun, saya menerima arahan melalui Arul atau Jho untuk pergi ke rumah Datuk Farid Ridzuan.
Shahrol berkata, beliau difahamkan Farid bertanggungjawab membentuk imej Najib dan bertugas dengan Jabatan Perdana Menteri.

"Saya pergi ke sebuah rumah di Hartamas. Ia pada waktu malam dan ada beberapa siri mesyuarat pada sebelah petang sebelum dan selepas pendengaran PAC," katanya.

Shahrol bersetuju apabila ditanya jika ahli-ahli PAC turut hadir semasa mesyuarat berkenaan dan menamakan pengerusi PAC ketika itu, Hasan Arifin sebagai antara mereka.

"Beliau (Hasan) maklumkan kepada saya apa yang dia dibentangkan dalam mesyuarat pendengaran PAC itu. Dia beritahu saya apakah buah fikir jawatankuasa itu dan apa yang akan masuk dalam laporan itu.

"Mesejnya adalah kuat bahawa ini adalah serangan politik terhadap perdana menteri dan meremehkan bahawa Najib mempunyai sebarang peranan dalam keputusan 1MDB," katanya.

Najib menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa ke atas dakwaan penyelewengan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Tiada ulasan: