TUN ABDUL HAMID
SAYA merujuk kepada Forum Naratif Malaysia Baharu yang diadakan pada
14 September 2019 di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara,
Selangor. Ia dibuka oleh Steven Sim Chee Keong dan ditutup oleh Michelle
Ng Mei Sze.
Eloklah kita tahu sedikit mengenai latar belakang
kedua-dua nama yang tersebut di atas, moderator dan ahli-ahli panel
forum itu.
Steven Sim Chee Keong adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, seorang Cina Kristian.
Michelle Ng Mei Sze adalah Ahli Dewan Udangan Negeri Selangor (ADUN) DAP Subang Jaya, seorang Cina Kristian.
Moderator forum itu, Philip Koh, seorang peguam, adalah seorang Cina Kristian.
Prof
Dr Tajuddin Rasdi, adalah seorang profesor seni bina, Universiti UCSI.
Beliau bukan sahaja satu-satunya ahli panel bukan Cina, malah
satu-satunya peserta bukan Cina di forum itu.
Dr James Chin
adalah seorang Cina Kristian dari University of Tasmania. Beliau adalah
kelahiran Malaysia (Sarawak) yang masih menjadi warganegara Malaysia.
Dr
Lee Kam Hing, bekas profesor sejarah Universiti Malaya, pada masa ini
adalah Timbalan Naib Canselor, New Era University College.
Adakah
forum itu mempunyai sesuatu agenda? Perhatikan apa yang dikatakan oleh
Timbalan Menteri itu di permulaan ucapan pembukaannya. Katanya:
“Mengapa
kamu semua membuat ini, adakah sesuatu agenda di belakang, terutama
sekali dengan Prof Tajuddin ada sama.” (Terjemahan saya.)
Daripada satu ayat itu kita boleh tahu bahawa:
1. Timbalan Menteri berkenaan mengenali Prof Tajuddin;
2. Biasanya, apabila ada Prof Tajuddin, adalah sesuatu agenda.
Ini disahkan oleh Prof Tajuddin sendiri dalam jawapannya di penghujung forum itu. Antara lain, katanya:
“Lihat
kepada Utusan Malaysia, siapakah yang menulis “tolonglah Utusan
Malaysia”? Prof Tajuddin, yang kebanyakan orang Melayu tidak suka. Saya
kata, “Lihat. Tolonglah, 700 orang, kamu tahu, apabila mereka
memberhentikan JASA, berapa ribu orang, orang BERNAMA juga, macam itu.
Saya kata “Tolonglah,” dan lepas itu saya terpaksa merayu kepada orang
bukan Melayu. Seorang Cina berkata, “Saya akan bagi RM20,000.00”, macam
itu. Saya berkata kepada orang bukan Melayu, “Jika kita boleh mengumpul
RM1 juta, kita boleh memalitnya di muka UMNO, dengan mengatakan “ini
orang bukan Melayu tolong”… Beberapa orang berkata, “Wah kamu sangat
bersemangat, kamu hendak menolong Utusan”. “Bersemangat bersemangatlah,
tetapi saya juga mempunyai strategi politik, kamu tahu, dengan menolong
mereka, kita menukar naratif seperti itu.
Apabila ada masalah,
berkenaan agama Kristian atau orang Cina, kamu jangan buat kenyataan
akhbar sendiri, tetapi mereka di luar sana, tak ramai, tapi orang macam
saya, Siti Kassim, Anas Zubedy. Ini adalah orang Melayu yang berfikiran
terbuka, pastikan kamu memasukkan mereka dalam kenyataan ini, supaya
kita tukar naratif dan juga kita boleh menjawab balik naratif PWTC, yang
ini, dan itulah cara kita bergerak bersama. Walaupun Melayu ini tak
ramai tak mengapa, kita boleh ada media, sebab itulah boikot tidak
sebenarnya, tidak berjalan dengan cukup baik…” (Terjemahan saya, seperti
yang beliau katakan. Ucapannya bercampur-campur Bahasa Inggeris dan
Bahasa Melayu dan tidak tersusun. Lihat nota akhir.)
Perhatikan agenda yang dipanggilnya “strategi” itu:
1. Beliau merayu kepada orang bukan Melayu (Cina) untuk menderma ‘membantu’ Utusan Malaysia dengan tujuan:
(a) memalukan UMNO;
(b)
mensabotaj Utusan Malaysia dengan menukar naratif (berita atau sesuatu
kisah) dan menjawab balik (counter) naratif UMNO dan Perpaduan Ummah.
2.
Satu lagi strateginya ialah untuk menggunakan orang Melayu seperti
beliau, Siti Kassim dan Anas Zubedy bagi menyangkal kritikan orang
Melayu dan Islam terhadap isu-isu mengenai Kristian atau orang Cina.
Forum
itu diadakan pada hari yang sama dengan Himpunan Perpaduan Ummah
(HPU914) yang diadakan di PWTC. Adakah itu satu kebetulan?
Timbalan
Menteri itu sendiri, dalam ucapan pembukaannya, merujuk kepada
perhimpunan di PWTC. Katanya, “Hari ini kita baru ada pertunjukan besar
di PWTC, politik dan agama dirapatkan”.
Prof Tajuddin juga
berkata, “dan juga kita boleh menjawab balik naratif PWTC..” Maka, ia
bukan kebetulan tetapi untuk ‘counter’ naratif PWTC.
Untuk
mengetahui lebih lanjut tujuan forum itu diadakan, mari kita lihat isi
kandungan ucapan pembukaan dan pembentangan ahli-ahli panel.
Kita kembali kepada ucapan Timbalan Menteri.
“Saya
akan lakukan dua perkara dalam ucapan saya hari ini, semua sekali. Saya
ingin, nombor satu, memberitahu anda betapa indahnya Kerajaan Tuhan
(Kingdom of God) tetapi saya juga ingin berkongsi dengan anda beberapa
perkara yang saya minati atau kerajaan telah lakukan dalam satu tahun
yang lalu.
“… tetapi ketika orang bertanya mengenai
politik Jesus, seperti ahli politik yang baik saya selalu kembali kepada
apa yang saya sebut manifesto Jesus, …
…. Saya berpendapat
bahawa Jesus juga mempunyai manifesto kecuali bahawa tidak seperti
manifesto PH, manifesto Jesus ada dalam Kitab Suci.
Ini adalah dari Luke Bab IV ayat 18 hingga 19, dan lihat cara Luke berdoa cerita ini.
Bagaimana apabila kita mengundi Jesus?
Apa yang berlaku apabila Jesus akhirnya menjadi Raja?
Pertama, mesti ada berita baik kepada orang miskin …
Kedua, apabila Negara Tuhan tiba, mestilah ada kebebasan bagi banduan …
Dan ketiga, apabila Christ menjadi Raja, ada pemulihan penglihatan untuk orang buta …
Apabila Tuhan menjadi Raja, nombor empat, akan ada pelepasan bagi yang ditindas …
Ini adalah tahun Tuhan untuk bertindak …
Rakan-rakan
saya sekalian, Negara Tuhan adalah misi yang tidak boleh dihalang, dan
alasannya adalah ini, Tuhan sendiri akan bertindak atasnya, dan itu
adalah keyakinan kita yang tidak dapat digoyang.
Negara Tuhan
tidak dapat dihentikan, dan ini adalah jawapan kita untuk semua ideologi
kapitalisme, komunisme, sosialisme, liberalisme, nasionalisme. Tuhan
sendiri berkomitmen untuk bertindak dan memastikan kejayaan Kerajaan-Nya
sendiri.” (Terjemahan saya mengikut apa yang dikatanya. Rujuk nota
akhir.)
Apa kata Prof Tajuddin? Ia boleh disimpulkan dengan satu
ayat: Beliau mengutuk Islam dan orang Islam. Sila ikuti antara apa yang
dikatakannya:
“Tetapi sebenarnya untuk memberitahu anda
kebenaran mengapa saya di sini dan dalam satu pengertian tidak diterima
oleh bangsa saya sendiri dan juga agama saya sendiri, adalah kerana
secara kebetulan saya membaca 20,000 hadis Nabi Muhammad, daripada
Bukhari, Muslim, ini teks-teks yang sepatutnya dibaca oleh ustaz-ustaz,
tetapi mereka tidak membacanya, dan umat Islam tidak membaca apa-apa.
….
sekolah-sekolah kerajaan kita melarang agama-agama lain diajar, kerana
mereka mengatakan ia akan mengelirukan, memanglah keliru, anda beri
ustaz, mereka tidak tahu bagaimana hendak berfikir melebihi apa yang
mereka telah diajar di madrasah, bagilah profesor seni bina (beliau
adalah prof seni bina – ditambah), bolehlah, kita tukar, kerana sebagai
arkitek kita berfikir di luar kotak, bahkan kita tidak tahu apa kotak
itu. (Terjemahan saya).
............
Katakanlah, orang berkata anda
telah bertemu Tuhankah, perkara seperti itu, dan berkata keempat-empat
agama itu mereka belum bertemu dengan Tuhan. Maka mereka samalah seperti
lima lelaki buta yang cuba untuk mengetahui apa gajah itu padahal
mereka tidak pernah melihat apa gajah itu. (Terjemahan saya).
………
Sekarang,
dalam Islam kerohanian adalah berapa kali anda pergi ke haji, berapa
kali anda pergi ke umrah, berapa kali anda berjalan ke masjid….
Lihat,
dalam Islam mereka diajar ritual dan bentuk tetapi bukan jiwa, bahagian
dalam, dan ini adalah masalah, dan bagaimana untuk menyelesaikannya,
saya tahu bagaimana hendak menyelesaikannya, hanya saya tidak diberi
peluang menyelesaikannya. (Terjemahan saya)
Kita lihat pula apa yang dikatakan oleh ahli panel kedua, Dr James Chin.
Beliau
membawa satu point utama, iaitu ketidakpuasan hati beliau terhadap
pertambahan penduduk Sabah, yang mengikutnya, kebanyakannya dibawa masuk
dari Filipina Selatan. Antara lain, inilah katanya:
“Kini, satu
yang menambah kesedihan yang tidak relevan dengan Sarawak tetapi sangat
relevan dengan Sabah, sudah tentu rakyat Sabah juga sangat marah kerana
telah ada perubahan dramatik dalam demografi Sabah. Sekiranya anda
melawat Sabah, katakan pada tahun 1965, Sabah adalah sebuah masyarakat
yang cukup seimbang. Majoriti adalah Kadazan Dusun Murut, KDM.
Tetapi
di akhir tahun 1970-an sepanjang tahun 1980-an dan 1990-an terdapat
perkara yang disebut Projek IC, ada yang menyebutnya Projek M. Pada
dasarnya, ia bererti membawa sejumlah besar pendatang haram dari
Filipina Selatan, jumlah yang lebih kecil dari Indonesia, penyediaan
dokumen segera baru yang berakhir dengan IC biru Malaysia supaya mereka
menjadi warganegara, inilah yang kita panggil warga kertas.
Hari
ini keadaan sangat serius di Sabah kerana kira-kira satu per tiga orang
di Sabah hari ini adalah rakyat segera. Sama seperti kopi segera, anda
mencurahkannya ke dalam air panas maka anda mendapat IC biru. Kini,
dalam keadaan biasa ini tidak akan menjadi masalah tetapi dalam konteks
Sabah ia menjadi masalah besar kerana hampir semua kes, semua orang yang
dikeluarkan IC biru berakhir dalam senarai pemilih. Dalam erti kata
lain, anda menjadi warganegara segera untuk menjejaskan hasil pemilihan
negeri.
Oleh itu, saya telah memberikan anda dua angka. Pada
tahun 1976, terdapat 22 kerusi majoriti Kadazan Dusun Murut, pada tahun
2008 ia jatuh kepada 13. Pada tahun 1976, terdapat 18 kerusi Islam, pada
tahun 2008 terdapat 36. Jadi dalam ruang pada dasarnya satu generasi
hasil politik untuk setiap pemilihan negeri Sabah adalah bahawa anda
akan berakhir dengan kerajaan Islam, tidak ada dua pilihan mengenainya.
Esok, walaupun jika setiap orang bukan Islam di Sabah mengundi untuk
parti bukan Islam, anda masih akan berakhir dengan kerajaan Islam. Ok,
itulah kenyataannya. Jadi itulah sebabnya KDM sangat marah.” (Terjemahan
saya).
Di akhir ucapannya, beliau beralih kapada gerakan pemisahan. Ini katanya:
“Apa
yang juga sangat menarik dalam 10 tahun yang lalu ialah banyak gerakan
pemisahan sebenarnya mempunyai dimensi antarabangsa. Mereka mempunyai
penyokong di luar Malaysia. Mereka menubuhkan kumpulan di luar untuk
menyokong mereka. Jadi, pada 22 haribulan (September) ini, akan ada
persidangan, persidangan antarabangsa yang diadakan oleh gerakan
pemisahan. Mereka terpaksa mengadakannya di Melbourne dan mereka
membincangkan masa depan Sabah dan Sarawak di luar persekutuan. Jadi
jika anda berada di Melbourne pada 22 September, datang dan jumpa saya,
saya akan memberikan tiket untuk menghadiri, FOC, secara percuma.
(Terjemahan saya).
Sekarang, kita sampai kepada ahli panel ketiga Dr Lee Kam Hing. Antara lain, katanya:
“Sejarah
Malaysia atau sejarah yang dibentangkan dalam buku sejarah kita
mempunyai satu, tanah air orang Melayu, dan masyarakat pendatang. Tema
berterusan yang berjalan dalam naratif sejarah yang ditaja negara dan
dicerminkan dalam buku teks sejarah semasa untuk sekolah dan universiti,
tema utamanya adalah perpaduan Melayu, nasionalisme Melayu, Islam dan
Malaysia sebagai tanah air bagi orang Melayu. Teras utama tema ini ialah
tuntutan ketuanan Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu. Lebih
penting lagi, kisah-kisah sekarang yang dibina di sekeliling Perikatan,
BN sebagai makna kemerdekaan negara, dan bahawa UMNO adalah pelindung
dan pembela hak Melayu.
………….
Dalam usaha untuk menekankan
kepentingan Islam dalam sejarah, Teks Sejarah Dunia Tingkatan Empat
memperuntukkan lima dari sepuluh bab mengenai sejarah Islam. Jadi anda
mempunyai sepuluh bab sejarah dunia dan, jadi anda mempunyai lima dari
sepuluh bab dalam sejarah Islam, hanya tiga dari sepuluh bab dalam
sejarah dunia yang berkaitan dengan perkembangan idea dan institusi di
luar Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara. Oleh itu, hanya tiga
daripada sepuluh bab sejarah dunia yang dikhaskan untuk sejarah dunia di
luar rantau ini.
…………
Sekarang dalam naratif ini, peranan dan kehadiran bukan Melayu diberi perhatian yang sangat minimum.
… ..
….
Kehadiran Kristian, dan saya ingin mengakhiri perkara ini, telah
menjadi sebahagian daripada sejarah negara, terutamanya sejarah
Bumiputera Kristian…..
Sekarang, misi Kristian menyumbang kepada
pengetahuan dan penerbitannya melalui media cetak dan ia adalah
Kristian, London Business Society, yang menerbitkan jurnal berbahasa
Melayu yang pertama bernama Busan Arbi, dan buku-buku Melayu yang
pertama dicetak oleh rumah penerbitan misi, yang dipanggil MPH, kolej
pembelajaran pertama di Melaka pada tahun 1850, Anglo-Chinese College,
dan salah seorang guru di sana adalah Prof James Leigh yang kemudiannya
menjadi profesor Chinese di Oxford. Sekarang, orang Kristian adalah
ilmuan peradaban Melayu.”
Akhir sekali, inilah yang dikatakan oleh Philip Koh semasa menyimpul resolusi forum itu:
“Tetapi
kita semua tahu, Tajuddin juga mengatakannya bahawa banyak kursus yang
dijalankan dari segi pendidikan dan latihan belia, kelas-kelas sivik
menyebarkan nasionalisme etnik, ketuanan Melayu, bukan nasionalisme
sivik, yang bermaksud kita mempunyai sebuah negara bersama.
Kebangkitan
Islam, betul, adalah sebahagian dari keseluruhan 3 R ini yang kita
bercakap mengenainya: Agama, Ras, Kesultanan. Isu-isu ini berleluasa
dengan cara saya, sebagai seorang peguam, ketika saya melihat di
mahkamah, pada satu ketika mahkamah nampaknya membenarkan 3 R untuk
mengalahkan peruntukan mengenai tafsiran Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 3 (1) mengatakan dan kita mesti beri kepadanya all the weight
and respect, bahawa Islam adalah agama Persekutuan, tetapi Perkara 3 (4)
sangat jelas, betul, ia mengatakan bahawa tiada apa-apa dalam
perisytiharan ini akan merosotkan, menjejaskan atau merosakkan mana-mana
perkara (article) lain. Dan, saya akan memanggilnya kawan, Tan Sri
Malanjum, Ketua Hakim Negara yang telah bersara, betul, saya ingat dia
dalam kes Lina Joy, betul, sesetengah daripada kita telah mendengar
mengenai itu, dia berkata, “Hello, hello, ada orang yang melihat Perkara
3 (4)?” Dia adalah satu-satunya suara yang menentang tetapi ada
suara-suara dominan dalam badan kehakiman yang menggunakan Perkara 3 (1)
untuk mengatasi perkara-perkara lain, termasuk kebebasan seseorang
untuk menukar agamanya.
Saya sengaja memperturunkan petikan
ucapan atau pembentangan mereka supaya pembaca dapat membaca dan menilai
sendiri dan tidak hanya percaya dan bersetuju dengan apa yang saya
katakan.
Dalam ucapannya, Timbalan Menteri itu memuji Negara
Tuhan yang mereka hendak tegakkan di negara ini berdasarkan Manifesto
Jesus. Beliau menyeru semua Cina (Kristian) untuk bertindak kerana ini
adalah tahun Tuhan untuk bertindak dan Tuhan sendiri akan bertindak
untuk menegakkan negara Tuhan itu.
Mereka tahu bahawa orang
Melayu dan Islamlah yang akan menjadi penghalang mereka. Mereka
memperolehi seorang Melayu dan Islam yang bersedia untuk mengutuk orang
Melayu dan agama Islam di hadapan Cina Kristian. Beliau telahpun
mengatur dan melaksanakan strateginya untuk sabotaj Utusan Malaysia.
Lebih penting lagi ialah nasihat beliau kepada mereka, jika ada apa-apa
isu mengenai Kristian dan Cina, mereka janganlah membuat kenyataan
akhbar sendiri, tetapi menggunakan orang-orang seperti beliau, Siti
Kassim dan Anas Zubedy untuk menjawabnya. Semestinya senjata sulit
peluru Melayu ini adalah tambahan kepada beratus-ratus Red Beans,
termasuk yang menggunakan nama Melayu dan Islam.
Ahli panel
kedua yang berasal dari Sarawak dan menetap di Australia, diterbangkan
dari Tasmania hanya untuk mengemukakan perangkaan mengenai penerimaan
rakyat Filipina yang beragama Islam sebagai penduduk Sabah dan rakyat
Malaysia. Beliau mengakhiri pembentangan beliau dengan menawarkan tiket
percuma untuk menghadiri persidangan bagi membincangkan masa depan Sabah
dan Sarawak di luar Malaysia yang diadakan di Melbourne dan mendapat
sokongan antarabangsa itu.
Daripada ucapannya pun kita boleh
lihat bahawa beliau adalah seorang penyokong, jika tidak pejuang,
pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia. Bagaimana beliau boleh masuk
keluar Malaysia dengan bebas untuk mempromosi perpisahan Sabah dan
Sarawak dari Malaysia?
Ahli panel ketiga, bekas Profesor Sejarah
Universiti Malaya, pula mengkritik sejarah yang ditulis dalam buku
sejarah kita, yang mengikutnya, Malaysia adalah tanah air orang Melayu
dan orang bukan Melayu adalah masyarakat pendatang. Peranan dan
kehadiran orang bukan Melayu dan Kristian diberi perhatian yang sangat
minima.
Akhir sekali, Philip Koh, moderator, yang tidak puas
hati dengah hakim-hakim, yang menurutnya menggunakan Perkara 3 (1)
Perlembagaan Persekutuan untuk mengatasi perkara-perkara lain, termasuk
kebebasan seseorang untuk menukar agamanya.
Kita boleh simpulkan tujuan forum itu, iaitu:
1. Untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Tuhan berasaskan Manifesto Jesus.
2.
Untuk membangkitkan rasa tidak puas hati orang Cina Kristian supaya
mereka bangun bertindak, mereka diberitahu mengenai ‘ketidakadilan’ yang
dilakukan terhadap mereka oleh kerajaan BN:
a. bahawa kerajaan BN telah membawa masuk banyak orang Islam daripada Filipina untuk menambah bilangan pengundi Islam di Sabah;
b. bahawa peranan orang bukan Melayu dan orang Kristian tidak diiktiraf dalam sejarah negara;
c.
bahawa hakim-hakim (yang majoritinya Melayu) menggunakan Perkara 3 (1)
Perlembagaan Persekutuan untuk menghalang kebebasan seseorang untuk
menukar agamanya;
3. Untuk memperlekehkan Islam dan orang Islam pada pandangan peserta, Prof Tajuddin memainkan peranannya;
4.
Antara strategi mereka, ialah mensabotaj Utusan Malaysia untuk menukar
naratif Melayu dan Islam dan menggunakan orang Melayu dan Islam untuk
melawan (counter) kritikan orang Melayu dan Islam terhadap orang Cina
dan Kristian.
Perlu difahami bahawa soal sama ada peruntukan 3
(1) Perlembagaan Persekutuan menghalang seseorang itu menukar agama atau
tidak, tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. Tidak ada
penghakiman mahkamah, tidak ada undang-undang, tidak ada orang Islam
yang menghalang orang bukan Islam menukar agama. Jika tidak semua mereka
tidak boleh menukar agama asal mereka kepada agama Kristian.
Kaum
yang paling banyak menukar agama adalah orang Cina. Orang Islam tidak
menghalang mereka. Masyarakat mereka juga tidak mengambil kisah selagi
mereka tidak menukar agama kepada Islam. Tetapi, apabila sahaja seorang
anggota masyarakat mereka memeluk agama Islam, maka bukan sahaja
keluarganya menentangnya, seluruh masyarakatnya akan memboikotnya. Itu
menunjukkan prejudis, jika tidak permusuhan, mereka yang mendalam
terhadap Islam.
Tetapi, apabila terdengar sahaja ada seorang
Islam yang murtad atau hendak murtad, apatah lagi jika hendak memeluk
agama Kristian, maka pasukan peguam mereka dan seluruh jentera
missionary mereka akan bergerak serentak untuk membantu dan membelanya.
Tidak kira di mana, mereka sampai. Siapa yang membayar upah (fee)
mereka?
Ingatlah cubaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam
bible Bahasa Melayu dan upacara agama Kristian dalam Bahasa Melayu
setelah gereja Kristian gagal mengkristiankan orang Melayu secara
besar-besaran selama 500 tahun.
Dalam kata lain, dalam usaha menegakkan Negara Tuhan itu, mereka juga mahu mengkristiankan orang Melayu/Islam.
Sekarang fahamlah kita apa yang dimaksudkan dengan Naratif Malaysia Baharu Pakatan Harapan itu .
Saya
tujukan rencana ini kepada semua orang Melayu dan Islam melampaui
sempadan parti politik di Malaysia. Ini adalah ancaman kepada kita semua
yang kita perlu tentang bersama.
Yang paling mendukacitakan
ialah apabila Menteri Belia dan Sukan (seorang Melayu dan Islam) ditanya
mengenai aktiviti timbalannya itu, beliau menjawab, “Dia tidak cuba
mengkristiankan saya pun”. Itu bukanlah jawapan yang layak diberi oleh
seorang Menteri. Ia menunjukkan betapa naifnya menteri Melayu dalam
Kabinet PH.
tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

Tiada ulasan:
Catat Ulasan