HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Oktober 2019

Golongan muda kecewa dengan BN, PH perlu bangkit

MALAYSIAKINI

   

Anggota Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof berkata golongan muda yang kecewa dengan BN dan PH kerana amalan politik perkauman, perlu bangkit melalui gerakan baru.

Bekas Menteri Kerja Raya yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPB) itu menggesa generasi muda mengubah amalan politik semasa yang memainkan isu kaum, agama dan bahasa sehingga menjadi penghalang kepada perpaduan Malaysia.

"Berdasarkan hantaran di media sosial, sebilangan besar rakyat kini tidak berpuas hati dengan sistem persekutuan dan perasaan negatif kelihatan tertumpu di kalangan golongan muda Malaysia - mereka yang akan mengundi dalam pilihan raya umum yang akan datang," kata Fadillah menurut laporan Free Malaysia Today.

Fadillah memenangi pilihan raya sebanyak empat kali di bawah tiket BN namun partinya menarik diri daripada gabungan itu untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata rakyat kini sinis terhadap kegagalan pemimpin politik memperkenalkan dasar-dasar baru dan memenuhi keperluan pengundi.

"Jika mereka (orang muda) menyahut cabaran ini ia akan mengubah perkembangan politik di negara ini," katanya.

Beliau berkata, gerakan diketuai anak-anak muda yang memberi tumpuan kepada isu dan bukannya politik identiti mahupun personaliti seperti sekarang bakal merubah lanskap politik di negara ini.

Katanya keadaan itu dapat membantu merapatkan jurang disebabkan perbezaan kaum dan bahasa di negara ini.


Tiada ulasan: