HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Oktober 2019

Ibu tunggal mengaku tak bersalah langgar peserta marathon

MALAYSIAKINI
 
   
Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu melulu hingga menyebabkan kemalangan melibatkan dua peserta larian Standard Chartered KL Marathon, Ahad lepas.

Cham Shan Jer, 25, seorang peniaga dalam talian membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Cham didakwa memandu kenderaan bernombor pendaftaran VK8854 di jalan awam dengan cara melulu atau bahaya kepada orang lain hingga menyebabkan kemalangan ke atas Lee Wei Jack, 44, dan Faizul Shahrul Mohd Salleh, 44, di MRR2, selepas susur AKLEH menghala ke Gombak pada 6.00 pagi, 29 Sept lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kedua iaitu memiliki dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 14.5 gram mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dalam lokap Balai Polis Pandan Indah, Jalan Pandan Ilmu dekat Kuala Lumpur, pada 4.30 pagi, 30 Sept, 2019.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan RM8,000 untuk pertuduhan kedua.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam T.L Chen merayu supaya anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

"Tertuduh adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun. Ini kesalahan pertama dan mohon satu jumlah ikat jamin yang rendah," katanya.

Mohamad Firdaus membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan RM6,000 bagi pertuduhan kedua dan menetapkan 18 Nov untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian awal pagi itu, dua peserta lelaki dirempuh kereta dipandu suspek yang terbabas di laluan berkenaan, menyebabkan kedua-duanya cedera.- Bernama


Tiada ulasan: