HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Oktober 2019

PH khianat rakyat jika kembalikan GST

Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman


 
 
Tiada keperluan untuk kerajaan mengkaji semula pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) meskipun dibangkitkan semula sesetengah pihak pada masa ini.

Jika cukai ini dilaksanakan semula ia adalah pengkhianatan kepada rakyat. Tanggal 1 September 2018, cukai zalim yang menekan rakyat ini sudah dimansuhkan dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

 
 
Meskipun terdapat cadangan agar kadar percukaian GST diturunkan sehingga 3 peratus sekalipun, namun cukai ini tidak progresif sama sekali untuk dilaksanakan kembali.

Saya percaya Malaysia mampu untuk memenuhi keperluan perolehannya walaupun ketiadaan GST dengan mengelakkan pembaziran, meningkatkan kecekapan sektor awam dan meneroka sumber pendapatan baharu.

Pendapat Pakar Ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram yang membantah pelaksanaan GST dan mencadangkan sistem sedia ada diganti dengan sistem percukaian pintar (smart taxation) boleh diambil kira.

Antara faktor kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu adalah rakyat menolak cukai yang memiskinkan rakyat kerana ia memberi kesan mendalam kepada kehidupan harian rakyat.

Rakyat jugalah yang telah memberikan harapan kepada Pakatan Harapan untuk mengubah negara ini.
Memperkenalkan semula GST bukanlah satu penyelesaian tunggal dalam meningkatkan pendapatan negara, bahkan pendapatan mampu ditingkatkan dengan melakukan perubahan secara keseluruhan bagi memastikan negara ini ditadbir secara bertanggungjawab.

Rakyat tidak mahu ‘digigit’ buat kali kedua dengan terpaksa mengharungi keperitan hidup angkara GST.

Di mana suatu ketika dahulu, rakyat sendiri telah membuat bantahan dan berhimpun di seluruh negara kerana pelaksanaan GST adalah satu bentuk jenayah yang wajib dilawan secara habis-habisan. Namun kini mengapa GST perlu dikembalikan semula?

Saya juga percaya kerajaan Pakatan Harapan memerlukan masa untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu dan perkara yang paling penting untuk diberi penekanan ialah menyelesaikan kemelut ekonomi yang menjadi keluhan rakyat seperti kos hidup yang tinggi.

* Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman adalah Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR Selangor
 
 

Tiada ulasan: