HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 Oktober 2019

Putrajaya sedia jual PLUS jika ada bidaan sesuai, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika menjawab pertanyaan 
pemberita di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Putrajaya bersedia mempertimbangkan bidaan mana-mana pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir bagaimanapun berkata, sekiranya pengambil alihan itu berlaku, PLUS tetap perlu diberikan hak dan kepentingan menguruskan lebuh raya terbesar di Malaysia itu.

“Apa-apa bidaan oleh sesiapa akan dikaji oleh kerajaan persekutuan sesuai dengan kehendak kita. Jika sesuai, kita akan layan. Kita boleh jual, tetapi mesti ada tempat juga,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, firma pelaburan milik rakyat Malaysia berpangkalan di Hong Kong, RRJ Capital Ltd, menaikkan harga tawaran pengambilalihan PLUS kepada RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion yang ditawarkan sebelum ini.

Tawaran dikemukakan meskipun terdapat laporan bahawa Khazanah Nasional Bhd menegaskan tidak berminat menjual syarikat pengendali lebuh raya terbesar itu kepada mana-mana pihak.

Pada akhir bulan lalu, RRJ dilaporkan mengemukakan tawaran pembelian PLUS sebanyak RM3 bilion tunai dan pengurangan tol sebanyak 20 peratus.

Semalam, pemegang saham utama PLUS, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) menegaskan ia tidak berminat untuk menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.

Pengarah urusannya, Shahril Ridza Redzuan berkata, setakat ini pihaknya menolak kesemua tawaran yang diterima daripada entiti swasta asing mahu pun tempatan.

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS, manakala bakinya dimiliki KWSP susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

Ketika ditanya adakah pengambilalihan PLUS Malaysia Bhd oleh syarikat swasta akan menjejaskan pendapatan negara, Mahathir berkata, perkara berkenaan akan diuruskan oleh sebuah jawatankuasa khas.

“Ada satu jawatabkuasa yang perhatikan masalah hutang dan pembayarannya, yang akan memberikan sebarang cadangan untuk kurangkan hutang,” katanya.

Sementara itu, Mahathir berkata, tidak ada sebarang kajian dan perbincangan di peringkat kerajaan persekutuan untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Tidak bincang lagi, ketika itu saya ditanya pemberita. Saya jawab bahawa jika ada permintaan rakyat dan kita sensitif kehendak rakyat, maka kita akan kaji. Tetapi tidak ada kajian masa ini,” katanya.

Mengulas mengenai isu penjualan syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines, Mahathir berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Khazanah untuk buat keputusan.

“Ketika ini, saya belum lagi bercakap dengan mereka (Khazanah). Banyak pembida yang berminat, termasuk pihak tempatan, tetapi terpulang kepada Khazanah untuk tentukan,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Mahathir berkata, ketika menyebut tentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berjanji menghapuskan tol, beliau merujuk kepada manifesto pilihan raya gabungan politik itu yang menyebut bahawa tol tidak dihapuskan serta-merta.

Memetik manifesto berkenaan, beliau berkata, PH berjanji akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dn berunding untuk mendapatkan harga terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan tol secara berperingkat.

“Kajian menunjukkan bahawa kerajaan terpaksa belanja puluhan bilion ringgit untuk ambil alih lebuh raya secara serta merta-merta.Setelah ambil alih penyelenggaraannya akan memerlukan berbilion ringgit lagi,” katanya.

“Kerajaan dahulu telah hutang ribuan bilion ringgit. Hutang mesti dibayar jika tidak hendak dijadikan muflis. Pembayaran faedah hutang dan hutang pokok menelan berbilion ringgit.

“Apabila dibayar, dana kerajaan tidak mencukupi untuk pembangunan infrastruktur penting jika beban pembelian dan penyelenggaraan ebuh raya ditambah kepada operasidan pembangunan kerajaan,” kata kenyataan itu lagi.

Beliau berkata, kerajaan tidak mampu melayan permintaan projek oleh rakyat jika dibebankan dengan kos penyelenggaraan lebuh raya.

“Masa diperlukan untuk mengurangkan beban rakyat kerana penghapusan tol. Jika ada pihak swasta yang akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbangkan.”

Tiada ulasan: