HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Oktober 2019

Siapa lebih layak diundang berbanding bakal PM, Umno tanya kongres

Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata, sebagai calon 
perdana menteri, Anwar Ibrahim harus mengetahui dengan 
jelas kebimbangan dan isu orang Melayu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Siapa lagi yang lebih layak jika Anwar Ibrahim yang sedang menunggu peralihan kuasa tidak dianggap sebahagian pemegang taruh kepentingan bangsa Melayu, kata Umno kepada penganjur Kongres Maruah Melayu.

Naib Presidennya Mohamed Khaled Nordin berkata, tidak mengundang Anwar jadi persoalan kerana presiden PKR itu bukan pemimpin “biasa-biasa”, sebaliknya membantu kelahiran gerakan reformasi dan seorang tokoh Melayu yang progresif.

“Beliau adalah perdana menteri menunggu yang harus mengetahui dengan jelas kebimbangan dan isu orang Melayu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kelmarin Anwar berkata, beliau tidak menerima sebarang undangan daripada penganjur kongres yang bakal menampilkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu khas, serta perwakilan dari PAS dan Umno.

Semalam, Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Zainal Kling memberitahu FMT tiada undangan secara khusus dibuat kepada mana-mana pimpinan parti politik.

Katanya, undangan dibuat secara terbuka dan Anwar boleh hadir sama.

Telahan Khaled, barangkali institusi pengajian tinggi awam yang menganjurkan kongres itu tidak mengundang Anwar kerana ada kaitan dengan pelan peralihan kuasa.

“Alasan bahawa kongres itu terbuka kepada semua orang Melayu justeru tidak memerlukan beliau dihantar jemputan khusus sangat dangkal dan terdesak,” tambahnya.

Zainal berkata, penganjur hanya mengundang parti Melayu dan orang Melayu dan PKR tidak diundang kerana ia bukan parti berteraskan orang Melayu.

Ia selepas Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan partinya belum terima undangan.

Khaled sama sekali tidak menyangka Anwar tidak diundang kerana beliau mewakili PKR, parti yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Saya sama sekali tidak menyangka jawapan sebegini boleh terpacul daripada mereka yang menggelar diri sebagai cendekiawan Melayu,” katanya.

“Yang pasti, semua institusi pengajian tinggi awam terlibat akan dihakimi wibawa mereka pada 6 Okt ini.”

Mahathir akan memberikan amanat pada penghujung acara. Kongres Maruah Melayu akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam esok.

Penganjur sebelum ini berkata, kongres anjuran Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara itu tidak melibatkan ahli politik dan kehadiran mereka atas undangan.

Tiada ulasan: