HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Oktober 2019

Umno, DAP bertengkar kerana RUU Antiberita Tidak Benar

Noh Omar.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh dengan pertengkaran antara wakil rakyat pemerintah dan pembangkang pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 hari ini.

Ia tercetus selepas Noh Omar (BN-Tanjong Karang) mempersoalkan rancangan DAP menubuhkan jawatankuasa khas bagi melawan berita palsu yang diumumkan Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) di blog pada 20 Sept lepas.

Pemimpin Umno itu juga merujuk kepada kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada 8 Okt lepas, yang berkata kementeriannya mempertimbangkan cadangan menubuhkan jawatankuasa pilihan parlimen bagi membendung isu salah guna media sosial.

“Ini nampak DAP perlu akta baru perangi berita palsu,” katanya hari ini ketika Dewan Rakyat sedang membahaskan pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar yang diluluskan kerajaan lepas.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) bangun dan mendakwa Noh cuba mengelirukan Dewan Rakyat kerana kenyataan menteri dan Lim adalah dua isu berbeza.

RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun dan berkata jawatankuasa yang diumumkan Lim itu adalah di peringkat parti.

Kemudian, Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) bangun dan berkata kerajaan semasa sepatutnya menyokong Akta Antiberita Tidak Benar sedia ada, bukannya mencipta undang-undang baru dengan matlamat yang sama.

Noh mempersoalkan pendirian DAP yang mahu satu jawatankuasa melawan berita palsu tetapi pada masa sama menolak Akta Antiberita Tidak Benar.

“Ini tidak akan selesaikan masalah.

“Kamu kata jawatankuasa dibuat di peringkat parti, buat apa tubuh jawatankuasa tapi tak boleh dikuatkuasakan?” tambahnya.

Noh sebelum mengakhiri perbahasannya turut menyentuh dakwaan menghina Sultan Selangor yang dikaitkan dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming, menyeru ia perlu disiasat secara telus.

Rayer bangun untuk menjawab: “Siasatan masih berjalan, jangan mengelirukan Dewan.”

“Saya ini peguam, tidak bodoh macam YB. Bagi saya habis cakap dulu,” balas Noh.

Selepas lebih 10 minit kecoh, Timbalan Speaker Rashid Hasnon meminta semua wakil rakyat duduk dan Noh mengakhiri perbahasannya.

Dewan Rakyat hari ini mula membahaskan RUU Antiberita Tidak Benar buat kali kedua selepas cubaan pertama ditolak Dewan Negara setahun lalu.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: