HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Oktober 2019

Usah pertikai kehadiran Mahathir di KMM


   

ULASAN | Mengapakah ada pemimpin MCA, DAP dan beberapa pihak lain mempertikaikan penganjuran sebuah kongres yang menyatukan orang Melayu daripada pelbagai ideologi politik?

Adakah salah dari segi undang-undang apabila orang Melayu berhimpun dan bersatu untuk membincangkan hala tuju pendidikan, ekonomi, budaya, politik dan agama Islam?

Pernahkah orang Melayu mempertikaikan hak dewan perniagaan kaum lain atau persatuan pendidikan kaum lain berhimpun membincangkan hala tuju pendidikan, ekonomi dan hal ehwal bangsa mereka?

Kehadiran Dr Mahathir Mohamad menyampaikan amanatnya dalam kongres yang menghimpunkan pimpinan dan orang Melayu tidak harus dipertikaikan oleh mana-mana pihak, apatah lagi beliau merupakan pemimpin yang sinonim dengan gerakan memimpin parti Melayu sejak sekian lama.
 
Dr Mahathir pernah memimpin Umno sebagai presiden selama 22 tahun. Kini beliau mengetuai Bersatu yang berteraskan orang Melayu dan pribumi yang bermatlamat mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan serta memperjuangkan kedudukan istimewa Melayu sambil tetap menghormati hak kaum dan agama lain.

Apalah gunanya kita bercakap tentang perpaduan nasional sekiranya orang Melayu yang terdiri daripada penduduk majoriti di negara ini hidup berpecah-belah dan saling memusuhi antara satu sama lain.

Perpaduan Melayu dan Islam tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada kaum dan penganut agama lain kerana ianya tidak akan menjejaskan perpaduan nasional sama sekali.

Perpaduan orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti negara ini penting bagi menjamin kestabilan negara secara keseluruhannya.

Perpecahan dan perbalahan sesama masyarakat Melayu hanya akan menjejaskan kestabilan negara ini.

Kestabilan negara sudah tentu akan memberi manfaat serta nikmat kepada semua rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

Tidak salah dan sewajarnya orang Melayu mencontohi sahabat-sahabat kita daripada masyarakat Cina yang dilihat lebih bersatu walaupun mereka berbeza ideologi politik.

Diharapkan Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan ini akan menjadi pencetus kepada perpaduan Melayu dan Islam yang lebih utuh tanpa menjejaskan perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan agama yang menjadi hasrat dan harapan kita semua.



MOHD RAFIQ NAIZAMOHIDEEN ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia.

Tiada ulasan: