HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Oktober 2019

Waytha: Tiada masalah anjur Kongres Maruah Melayu

MALAYSIAKINI

   

Di sebalik kritikan gesaan agar Dr Mahathir Mohamad menarik diri daripada Kongres Maruah Melayu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berpandangan tiada masalah dengan penganjuran program itu.

Ditanya sama ada penganjuran kongres itu baik untuk perpaduan negara, Waytha Moorthy berkata ia bukanlah satu isu dan perdana menteri sendiri akan menghadirinya.

Menganggapnya bukan satu isu, beliau berkata perdana menteri sendiri akan menghadiri program itu.

Tak ada masalah. Sebagai ketua negara beliau hadir untuk berucap kepada komuniti Melayu. Jadi tiada masalah," katanya ketika sidang media selepas program Penyatuan Rukun Negara, di Putrajaya, hari ini.

Kongres anjuran empat universiti awam itu - Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) - akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Ahad ini.

Antara yang membantah kehadiran Mahathir ialah bekas menteri Zaid Ibrahim dan Anggota Parlimen Klang Charles Santiago.

Mereka juga tidak setuju dengan kenyataan penganjur bahawa kedatangan Mahathir bukan atas kapasiti sebagai perdana menteri, tetapi pemimpin Melayu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kongres itu tidak boleh dianggap bersifat perkauman tetapi sebagai satu platform membincangkan kedudukan orang Melayu dan Islam tanpa kepentingan parti politik.

"Mengapa perlu burukkan keadaan apabila hampir semua pemegang taruh kepentingan orang Melayu dan Islam berbincang tentang nasib sendiri? Adakah ini dianggap rasis?" soalnya.

Beliau juga menggariskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ketika kongres, antaranya soal kesucian Islam di Malaysia, penyelesaian bagi masalah orang Melayu seperti dalam ekonomi dan perniagaan, serta pendirian berkenaan dasar afirmatif, masalah sosial dan budaya.

PAS sebelum ini mengesahkan kehadiran presidennya Abdul Hadi Awang ke kongres itu.

Umno juga difahamkan akan menghantar beberapa pemimpin kanan walaupun pada mulanya kongres itu dikritik beberapa pemimpin parti itu, antaranya kerana disifatkan sebagai respons kepada Himpunan Penyatuan Ummah bulan lalu.


Tiada ulasan: