Tidak berpuas hati tuntutan berhubung isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengambil langkah melancarkan pula kaji selidik bagi meneruskan desakannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pemuda UMNO itu mengumumkan kajian tersebut akan dikendalikan Sekretariat Penyelidikan sayap parti itu bagi mendapatkan maklum balas dan kehendak rakyat berhubung isu pengeluaran KWSP.
“Kajian ini bersifat telus dan tidak memihak kepada sesiapa.
“Dapatan ini akan membantu mengenal pasti adakah ada keperluan untuk meluluskan pengeluaran ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Jelasnya, hasil kaji selidik itu akan dikongsi dengan umum dan akan dibawa kepada perhatian kerajaan.
“Mohon penyertaan semua untuk menjawab soalan kaji selidik. Hanya mengambil masa tak sampai satu minit.
“InsyaAllah, saya sudah minta Exco Penyelidikan Pemuda Umno Azril Sarit untuk berkongsi dapatan dengan semua dan akan dibawa kepada pihak kerajaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu Asyraf berkata, pendapatan KWSP tidak akan terkesan dengan pengeluaran RM10,000 terakhir yang diminta oleh rakyat selepas ia mencatatkan peningkatan pendapatan pelaburan kasar kepada RM48.02 bilion.
“Implikasinya mungkin sekitar RM25 bilion sahaja sebagaimana i-Sinar dan i-Citra.
“Kalau ikutkan, caruman bulanan yang KWSP terima adalah RM6.5 bilion. Setahun RM78 bilion. Setakat pusing yang ini pun sepatutnya lebih daripada cukup,” katanya.
“Perlukah dicairkan aset-aset KWSP di luar negara yang berjumlah kira-kira RM356 bilion, iaitu 36% daripada jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM988.55 bilion? Tak perlu.”
KWSP semalam mengumumkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM48.02 bilion untuk sembilan bulan pertama berakhir 30 Sept 2021, meningkat 7.7%, atau RM3.42 bilion, berbanding RM44.60 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan