JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad diminta untuk tidak berdolak-dalik sebaliknya berterus terang sama ada akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat atau tidak.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, satu perincian yang jelas mengenainya perlu dilakukan sekaligus memudahkan pelbagai pihak membuat persediaan sekiranya PRN perlu diadakan.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Johor berkata, penjelasan itu setidak-tidaknya dapat melenyapkan khabar angin yang bertiup ketika ini dan kembali fokus terhadap isu lebih utama iaitu membantu rakyat terjejas Covid-19 dan bencana banjir serta memulihkan ekonomi negeri.
“Maklum balas Menteri Besar mengenai akan berlakunya PRN dalam tempoh terdekat atau tidak, kurang jelas dan seakan-akan berdolak-dalik dalam hal ini sedangkan desas-desus tersebut bermula dari parti mereka juga.
“Oleh kerana desas-desus PRN ini fokus kerajaan negeri untuk memajukan negeri dan membantu rakyat ketika ini terganggu dan beralih kepada mendapatkan kuasa dan lobi-melobi untuk bertanding.
“Umumkan segera tarikhnya jika benar mahu PRN diadakan, jadilah ‘gentleman’. Ini secara tidak langsung membolehkan ‘politiking’ keterlaluan ketika ini dihentikan seterusnya dapat memberi tumpuan kepada rakyat yang terjejas serta pemulihan ekonomi negeri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kelmarin, Hasni seolah-olah tidak menafikan khabar angin yang mengatakan akan diadakan PRN dalam masa terdekat sebaliknya beliau kelihatan terbuka dan memaklumkan perlu memantau dan melihat keadaan semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu turut mengakui kerajaan negeri ‘tidak suka’ dengan istilah satu iaitu hanya majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja yang dimiliki oleh mereka hari ini.
Sebelum ini, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dilaporkan menafi bahawa beliau akan mengisytiharkan diri sebagai ADUN Bebas sekaligus menjadi pencetus kepada pembubaran DUN dan memberi laluan kepada PRN.
Mengulas lanjut, Aminolhuda berkata, PH Johor tetap dengan pendirian mereka memberi jaminan kepada kerajaan negeri bahawa tidak akan mengganggu gugat kestabilan politik negeri saat ini.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, pembangkang pada masa sama bersedia berganding bahu bersama kerajaan negeri dalam membantu rakyat melalui waktu yang mencabar ketika ini.
“PH Johor tidak mahu PRN diadakan dalam keadaan rakyat dan ekonomi negeri yang masih belum stabil kerana ia hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat selain memberi persepsi buruk terhadap semua parti dan ahli politik.
“Fokus dan keutamaan kita seharusnya kepada rakyat dan memulihkan ekonomi negeri selain Covid-19, sehinggalah cukup penggal nanti. Ketika itu semua pihak terutama rakyat sudah bersedia jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan,” katanya.-UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan