Permohonan rayuan yang dikemukakan Ahli Parlimen (MP) Gombak Datuk Seri Azmin Ali berhubung pembatalan saman yang difailkan oleh sepuluh pengundi di kawasan Parlimennya akan didengar pada 13 April depan.
Mahkamah Rayuan mengumumkan tarikh tersebut bagi mendengar rayuan Azmin yang mahu membatalkan saman tersebut atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari.
Seorang peguam yang mewakili pengundi, N Yohendra berkata, tarikh itu ditetapkan susulan pengurusan kes yang dibuat di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Nur Adilah Halid pada Isnin.
“Kami turut diarahkan untuk memfailkan hujah secara bertulis selewat-lewatnya pada 29 Mac,” kata Yohendra menurut laporan FMT hari ini.
Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri diwakili peguam, Nurul Najwa Zainuddin.
Pada 27 Nov 2020, pengundi memfailkan saman terhadap Azmin kerana didakwa menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai MP mereka susulan “Langkah Sheraton” melibatkannya yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi memohon antara lain, pengisytiharan bahawa Azmin telah melanggar tanggungjawab fidusiarinya sebagai MP Gombak, menipu mereka semasa pilihan raya di kawasan itu dan juga melanggar representasi yang dibuat kepada mereka.
Pada 12 Mac tahun lalu, Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan ia tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada penyalahgunaan proses mahkamah.
Pada 10 Jun tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir menolak permohonan Azmin untuk membatalkan saman yang difailkan sepuluh pengundi itu terhadapnya.
Beliau juga menetapkan perbicaraan empat hari mulai 7 Jun tahun ini untuk mendengar kes itu.
Dalam memorandum rayuannya Azmin berkata, Akhtar terkhilaf dalam keputusannya dan saman itu terbatal kerana plaintif tidak dapat membuktikan mereka mengundinya sebagai MP pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) lalu.
Azmin berhujah bahawa Akhtar gagal memahami fakta ini kerana kertas undi – bukti utama – telah dimusnahkan mengikut undang-undang pilihan raya untuk menjaga kerahsiaannya.
Azmin berkata, hakim juga terkhilaf dalam menyatakan bahawa keterangan lisan boleh dipertimbangkan daripada sepuluh plaintif yang mendakwa mereka mengundinya.
Beliau berkata, pertikaian antara beliau dan pengundi tiada kaitan dengan salah nyata tetapi adalah mengenai manifesto pilihan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan