SETIAP kali banjir pasti ada kayu balak yang hayut di lokasi banjir berlaku. Paling buruk banjir yang melanda baru-baru ini di beberapa negeri, terdapat kayu-kayu balak hanyut dan merempuh rumah.
Apabila tiba musim banjir, berlaku gelinciran tebing bukit dan tanah runtuh yang pastinya mendatangkan bahaya kepada orang ramai apatah lagi mereka yang berumah di tepi sungai dan kaki-kaki bukit. Itu tidak termasuk nyawa yang terkorban.
Begitulah catatan Ketua PUTRA Malaysia, Datuk Dr. Ibrahim Ali hari ini.
Di Malaysia, kata Ibrahim lagi, pelbagai peristiwa buruk berlaku, satu demi satu. Semacam sudah hilang berkat apabila bencana dan berbagai musibah melanda.
Apakah puncanya? Pada pandangan peribadi Ibrahim, semuanya angkara perbuatan manusia yang tamak, tidak patuh undang-undang dan terlalu mengejar kekayaan.
Di Malaysia satu-satunya negara Asia atau di dunia yg membenarkan pokok balak ditebang dan kayu-kayu gergajinya boleh dieksport.
Malaysia turut menandatangani Konvensyen Alam Sekitar PBB dan pokok balak tidak boleh ditebang sewenang-wenangnya.
Sebagai contoh, Thailand mengharamkan penebangan balak dengan hukuman mati terhadap mereka yang melakukan perbuatan yang dikategorikan sebagai jenayah.
Kerajaan Thailand tidak ada meluluskan kawasan pembalakan seperti di Malaysia. Namun di Malaysia, pokok-pokok balak boleh dittebang macam pokok lalang.
Kata Ibrahim lagi, negeri-negeri yang membenarkan pembalakan secara berleluasa ialah Kelantan, Pahang, Sarawak dan Sabah manakala lain-lain negeri pun ada juga yang meluluskan kawasan untuk pembalakan.
Di Kelantan sudah berpuluh-puluh tahun hutan musnah akibat pembalakan. Flora dan fauna habis musnah.
Binatang-binatang entah hilang kemana dan tanah-tanah serta kediaman Orang Asli habis musnah dan ada yang dirampas menggunakan undang-undang. Sungai Kelantan dari air biru asalnya bertukar menjadi kuning pekat akibat tanah runtuh kerana pembalakan.
Ia perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab dan mengejar kekayaan. Kelulusan diberi oleh pihak Kerajaan Negeri.
Ibrahim seterusnya mempersoalkan, bagaimanakah kegilaaan menebang balak dapat dikawal dan mencegah kemusnahan alam sekitar dan fauna. Paling tidak cadangan aktiviti pembalakan diwajibkan mendapat kelulusan EIA!
Selagi mana tidak ada kelulusan EIA di kawasan yang diluluskan, tidak boleh dijalankan pembalakan. Hukuman dan denda mandatori mesti dikenakan bagi yang melanggar undang-undang tanpa kelulusan EIA. Peraturan cara menebang pokok balak dan pengangkutan balak juga wajib diperketakkan.
Jika di Eropah balak hanya boleh diangkut dengan menggunakan helicopter logging bagi mengelakkan kerosakan jalan serta aktiviti mencuri balak secara haram. Ini semua boleh dilakukan jika ada kemahuan politik dan semua pihak sayangkan alam sekitar dan keselamatan rakyat.
Putra, ujar Ibrahim, menggesa agar diwujudkan Rang Undang-Undang (RUU) BALAK (AKTA BALAK) yang terpakai bagi semua Negeri Persekutuan di mana EIA Pembalakan wajib dan lain-lain peraturan termasuk hukuman yang berat seperti mandotari rotan dan penjara seumur hidup.
Walaupun pembalakan dari segi Perlembagaan Negara prerogatif kerajaan-kerajaan negeri namun perkembangan terkini yang negatif dan destruktif memerlukan Kerajaan Pusat mengawasi kondisi dan situasi yang tidak terkawal ini demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
Untuk tujuan penyelarasan seluruh wilayah Persekutuan, Kerajaan Pusat boleh menggubal satu akta atau meminda akta sedia agar aktiviti pembalakan diurus bersama di antara kerajaan Pusat dengan kerajaan-kerajaan negeri melalui keperluan mendapatkan kelulusan EIA terlebih dahulu sebelum sesuatu permohonan pembalakan diluluskan oleh kerajaan Negeri.
Langkah ini mungkin akan ditentang oleh kerajaan-kerajaan negeri tetapi tindakan Kerajaan Pusat seperti ini mempamerkan secara jelas dan tegas, keprihatinan terhadap kepentingan rakyat dan negara. – SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan