HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Januari 2022

Bersatu tidak terkesan ahli sertai PBM – Wan Saiful

AMRI

Bersatu tidak terkesan ahli sertai PBM – Wan Saiful

PARTI Peribumi Bersatu (Bersatu) tidak terkesan dengan tindakan  ahlinya yang dilaporkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ketua Penerangannya Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata Bersatu akan terus bergerak demi memberikan manfaat kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau agama. 

“Saya telah sebutkan sebelum ini bahawa perjuangan Bersatu tidak terkesan dengan perkembangan ini. 

“Bersatu akan terus bergerak dengan agenda integriti, tadbir urus yang baik, anti rasuah dan anti salah guna kuasa, demi memberikan manfaat kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau agama. 

“Bersatu juga semakin berkembang, dengan bilangan keahlian yang meningkat setiap bulan,” katanya dalam satu kenyataa, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman senarai Ahli Jawatankuasa (AJK) PBM yang dikatakan turut menyenaraikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu.

Wan Saiful berkata, Perlembagaan Bersatu jelas mengatakan sekiranya mana-mana ahlinya menyertai parti lain, maka keahlian mereka secara automatik tergugur. 

“Peraturan ini konsisten dan terpakai kepada semua,” tegasnya.

Media sebelum ini melaporkan dua ADUN Perak yang menyertai Bersatu pada tahun lalu turut tersenarai dalam kepimpinan PBM iaitu ADUN Buntong, A Sivasubramaniam dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Sivasubramaniam dilantik sebagai Naib Presiden Kanan 2, manakala Paul Yong dilantik sebagai Bendahari Agung PBM.

Senarai itu diumumkan pada Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti itu bagi penggal 2021-2024 yang berlangsung di Sibu, Sarawak pada 8 Januari lalu. – Malaysiapost

Tiada ulasan: