HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Januari 2022

Bantuan banjir: ‘Saya tiada niat perlekeh kerajaan negeri’ – Syed Saddiq

MALAYSIA POST

Bantuan banjir: ‘Saya tiada niat perlekeh kerajaan negeri’ – Syed Saddiq

PRESIDEN Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan beliau tidak berniat untuk memperlekehkan Kerajaan Negeri Johor berhubung isu bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu.

Jelas Ahli Parlimen Muar itu, isu berkenaan timbul selepas Sukarelawan MUDA disiasat polis hanya kerana menyampaikan bantuan terus kepada rakyat yang kesusahan.

“Saya tiada niat pun nak perlekehkan kerajaan negeri. Musim banjir, musim membantu.

“Masalah timbul apabila kami disiasat polis hanya kerana sampaikan bantuan terus ke rakyat yang susah. Apa salah kami nak bantu rakyat?,” soalnya menerusi Facebook.

Syed Saddiq berkata, perkara itu dipertikaikan kerana bantuan secara terus kepada mangsa banjir dibenarkan jika pemimpin kerajaan berbuat demikian. 

“Bila pemimpin parti kamu, boleh pula sampaikan secara terus ke rakyat. Bila MUDA, kena lalui A B C D E F dulu.

“Kena tunggu kebenaran. Tunggu pengesahan. Rakyat sedang susah. Bantu ja lah.

“Marilah kita bersaing dalam sudut kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Exco Kerajaan Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi secara sinis menyatakan rasa kagum dengan lakonan Syed Saddiq mengeksploitasi bencana banjir di Johor untuk meraih kepentingan politik peribadinya.

Beliau juga melahirkan ‘rasa teruja’ dengan kenyataan Syed Saddiq yang mempersoalkan kompetensi kerajaan negeri membantu mangsa-mangsa banjir.

“Sekarang dia (Syed Saddiq) nak tunjuk yang dia masih juara rakyat dengan harapan rakyat sudah lupa dengan gelagat dan kelaku mereka yang memang suka ‘menanam tebu di bibir mulut’,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Syed Saddiq menyifatkan ia adalah satu keangguhan luar biasa yang ditonjolkan pemimpin berkenaan. – Malaysiapost

Tiada ulasan: