JOHOR BAHRU: Tidak salah kepada mana-mana individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun parti politik untuk membantu rakyat, malah kerajaan negeri Johor amat mengalu-alukan kehadiran mereka terutama bagi menyantuni mangsa banjir di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerajaan negeri juga menghargai kerjasama semua pihak yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di mana penyelarasan dibuat Pejabat Daerah.
“Semuanya mengikut penyelarasan SOP terutama pada masa pandemik Covid-19 ketika ini. Ribuan individu dan puluhan NGO telah tampil membantu, terima kasih kami ucapkan.
“SOP yang dikatakan menyusahkan oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman wujud sejak banjir besar di Johor pada 2006. Kerajaan negeri pada masa itu berpandangan perlu ada penyelarasan yang lebih baik antara agensi dan semua yang terlibat dengan banjir,” katanya di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang berkata demikian sebagai respons terhadap Ahli Parlimen Muar itu yang membangkitkan persoalan adakah salah mereka (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) membantu rakyat.
Ia rentetan isu enam sukarelawan parti itu disiasat polis kerana didakwa telah menyampaikan bantuan banjir secara terus kepada pemohon tanpa meletakkan bantuan itu ke tempat yang dikhususkan.
Sementara itu jelas Onn Hafiz, tidak ada mana-mana pihak yang menggunakan atau mengeksploitasi polis dalam isu itu, sebaliknya pihak berkuasa hanya melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mendapatkan keterangan apabila ada laporan polis dibuat.
“Kalau ada laporan polis maka polis kenalah siasat dan ini bukan prosedur baru. Sebagai contoh, apabila YB buat laporan mengenai kehilangan duit RM250,000 dari rumah YB, maka pihak polis terpaksa siasat juga kerana ada laporan.
“Tidak ada isu mereka (sukarelawan) dilayan seperti penjenayah, jangan fitnah PDRM. Tahniah kita ucapkan kepada PDRM kerana menjalankan tugas mereka. Dalam isu banjir di Johor ini, YB Syed Saddiq tidak perlu disiasat kerana beliau tidak turun awal semasa insiden berlaku. Jangan mengkambinghitamkan polis hanya untuk menutup kelewatan sendiri,” katanya.
Tambah beliau, SOP, tatacara serta peraturan dan undang-undang diwujudkan supaya Johor dapat bertindak dengan lebih cekap, efektif dan teratur.
“Saya percaya rakyat Johor yang terkesan dan mereka yang benar-benar terlibat dengan usaha membantu semasa bencana ini melanda juga faham. Saya yakin orang Johor boleh maafkan YB Syed Saddiq kerana turun lambat ke Johor, namun YB tidak perlulah terus mengeksploitasi dan memanipulasi bencana banjir di Johor ini.
“Orang Johor tahu tatacara, adab, adat dan sejarah Johor. Mereka celik mata dan celik akal,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan