HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Januari 2022

Tun Faisal menghadap Panel Rayuan Lembaga Disiplin Umno

MALAYSIA POST

Tun Faisal menghadap Panel Rayuan Lembaga Disiplin Umno

TIMBALAN Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz hari ini hadir menghadap Lembaga Disiplin Umno berhubung rayuannya terhadap hukuman penggantungan keahliannya selama enam tahun.

Difahamkan, keputusan rayuannya itu akan diputuskan esok selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini.

Keahlian Tun Faisal digantung selama enam tahun bermula Mac tahun lalu susulan kenyataan terbukanya yang dilihat menentang Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika ditemubual Astro Awani secara langsung sebentar tadi, Tun Faisal memaklumkan pertemuan dengan anggota Panel Rayuan Lembaga Disiplin Umno berlangsung di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur selama kira-kira sejam.

Tun Faisal berkata, pertemuan berlangsung dengan lancar dan beliau berhujah panjang berhubung alasan-alasan membela diri serta asas dalam rayuan dikemukakannya.

“Saya berterima terima kasih kepada Panel Rayuan Lembaga Disiplin. Pada saya, mereka sangat terbuka dan telah memberi ruang yang banyak untuk saya jelaskan kedudukan dalam rayuan saya itu.

“Selepas ini seperti lazimnya, Panel Rayuan akan bawa kepada mesyuarat pengurusan Umno dan selepas itu akan menentukan sama ada hukuman ini kekal atau sebaliknya, atau diringankan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan terus lantang bersuara selepas ini, Tun Faisal berkata asas pandangan yang diberikan beliau serta ahli parti selama ini adalah untuk kebaikan Umno.

Katanya lagi, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi, beliau berharap semua pihak dapat menumpukan kepada usaha untuk mengukuhkan lagi kedudukan parti tersebut. – Malaysiapost

Tiada ulasan: